Bil Perhimpunan: "Kumpulan kecil paling terjejas'
Kumpulan berkepentingan kecil akan paling terjejas dengan sekatan-sekatan baru yang diperkenalkan dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 sebaik sahaja ia diluluskan.
Naib Presiden PKR Tian Chua, yang juga Ahli Parlimen Batu, berkata undang-undang itu, bagaimanapun tidak akan secara drastik menjejaskan pertubuhan politik yang besar, yang akan terus mampu menarik jumlah rakyat yang ramai, sekalipun perhimpunan diadakan di stadium.
Namun kata beliau kumpulan yang berkemungkinan terjejas adalah rakyat jelata dari kumpulan berkepentingan, komuniti kecil, kesatuan buruh dan golongan muda.
"Pemilik apartment tidak lagi mampu turun ke jalanan untuk membantah terhadap pemaju perumahan. Ibu-ibu tidak boleh mengambil bahagian dalam perhimpunan jika mereka tidak boleh membawa anak-anak mereka bersama-sama.
"Sekarang, kanak-kanak tidak boleh walaupun mengambil bahagian dalam bantahan mengenai perlindungan alam sekitar sekali pun. Mereka yang memiliki perniagaan atau berkepentingan politik akan menyalahgunakan undang-undang ini (untuk menghalang bantahan).
"Ini adalah budaya yang menakutkan yang akan dibawa oleh Rang Undang-undang baru ini," kata Chua, yang telah mengetuai jumlah protes yang tidak terkira banyaknya berhubung pelbagai isu sejak 15 tahun yang lalu.

