Ongkili: BCPM masih di peringkat konsultasi
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menetapkan semua pihak yang terbabit dengan cadangan penubuhan Lembaga Jurukomputer Malaysia (BCPM) agar memberikan maklum balas mengenai cadangan draf rang undang-undang penubuhannya pada 15 Jan depan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kini ia masih dalam peringkat konsultasi dan diharap dapat dilaksanakan penubuhannya dalam tempoh enam bulan.
Penubuhan BCPM yang bertujuan mengiktiraf profesional Maklumat Komunikasi dan Teknologi (ICT) di negara ini, bergantung kepada kehendak pihak industri dan awam, katanya kepada pemberita di Putrajaya petang semalam.
"BCPM) masih di peringkat cadangan dan masih boleh diubah atau ditunda penggubalannya jika tidak mendapat sokongan daripada pihak industri dan awam," tambahnya.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kebimbangan dan keresahan terutama di kalangan komuniti ICT yang beranggapan draf rang undang-undang BCPM kini pada peringkat akhir dan hanya menunggu untuk dimuktamadkan.
Penubuhan BCPM dicadangkan oleh Pasukan Kerja Modal Insan ICT Negara yang bertanggungjawab menyediakan Rangka Kerja Pembangunan Modal Insan ICT.
Salah satu cadangan dalam rangka kerja tersebut adalah untuk menubuhkan sebuah badan profesional ICT negara serta mempromosikan pembangunan pengamal profesional, di samping penjenamaan semula dan mempromosi kerjaya ICT sebagai pilihan utama.
Ongkili berkata keperluan untuk memberi pengiktirafan kepada golongan tersebut diutarakan oleh pihak industri dan akademia dalam usaha meningkatkan status profesion ICT ke peringkat antarabangsa.
- Bernama

