PAS masih bersedia untuk bermuzakarah dengan Umno demi untuk perpaduan Islam dan bangsa Melayu, kata presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Muzakarah masih terbuka bila-bila masa. Malah saya telah menghantar surat dua kali kepada bekas Perdana Menteri dan dua kali juga kepada Perdana Menteri yang ada hari ini tetapi surat saya masih belum dijawab," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan demikian sebagai mengulas saranan banyak pihak terutama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya parti itu dan Umno bermuzakarah.

Sebelum itu, Abdul Haji yang juga Menteri Besar Terengganu, telah menyampaikan bantuan kepada masyarakat Cina di daerah Kemaman sempena Tahun Baru Cina, di Kemaman semalam.

Usaha untuk mengadakan muzakarah Umno-PAS sebelum ini telah gagal apabila pihak parti pembangkang itu mengenakan beberapa pra-syarat sebelum ia bersetuju menghadirinya.

Pra-syarat

Antara pra-syarat yang dikenakan oleh PAS ialah meminta kerajaan persekutuan menyambung kembali pemberian royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS.

Berikutan itu, rancangan untuk mengadakan muzakarah tersebut telah gagal walaupun jawatankuata teknikal yang dianggotai oleh wakil Umno dan PAS telahpun ditubuhkan untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, usaha untuk menemukan kepimpinan Umno dan PAS berterusan dan kemuncaknya ialah penganjuran majlis menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman Israel.

Di majlis tersebut yang berlangsung dua tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden PAS, Datuk Fadzil Noor telah diundang untuk memberi ucaptama masing-masing di majlis berkenaan.

Mengulas lanjut mengenainya, Abdul Hadi berkata, muzakarah tersebut perlu berlandaskan prinsip Islam dan tidak hanya melihat kepentingan Melayu dan menghampakan bangsa lain, kerana Islam memberi keadilan kepada semua kaum.

Kerjasama

"Muzakarah mestilah berasaskan kepada prinsip agama orang Melayu iaitu Islam. Islam yang memberi keadilan kepada semua kaum. Kita tidak mahu muzakarah orang Melayu yang menghampakan orang lain.

"Muzakarah yang boleh memberi keadilan ialah muzakarah-muzakarah kepada Islam. Bukan berdasarkan kepada kepentingan satu kaum sahaja," tambahnya.

Ditanya siapakah orang tengah yang layak untuk mengadakan pertemuan itu, Abdul Hadi berkata: "Kita tidak perlu orang tengah. Kita boleh (buat) secara langsung."

Sementara itu, Abdul berkata, PAS akan tetap meneruskan kerjasama dengan DAP, Keadilan serta Parti Rakyat Malaysia (PRM) menerusi pakatan Barisan Alternatif (BA) untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, kerjasama itu masih perlu - walaupun ada pemimpin parti komponen BA mengkritik beberapa dasar PAS - bagi memastikan pakatan pembangkang mencapai kemenangan.

Konsert

"Kita mengutamakan kerjasama dalam parti pembangkang terlebih dahulu dalam menghadapi pilihan raya dan kita harap kerjasama itu bersambung selepas pilihanraya.

(Tetapi) selepas pilihanraya, senario politik akan berubah...dan kerjasama juga boleh berubah," katanya.

Beliau berkata kerjasama semua kaum penting untuk mentadbir negara yang bermasyarakat majmuk walaupun majoritinya Melayu yang beragama Islam.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas tindakan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menghantar memorandum kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membantah konsert penyanyi terkenal, Mariah Carey yang akan diadakan di ibu negara Khamis depan.

"Saya tiada maklumat mengenai perkara ini sama ada konsert itu dibuat di tempat tertutup atau terbuka. Saya kena tahu terlebih dahulu secara terperinci, baru boleh jawab," katanya.