Tidak berlaku sebarang perpecahan di kalangan orang Melayu tetapi sebaliknya mereka kini mengalih sokongan daripada Umno kepada Barisan Alternatif (BA), kata ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.

Katanya, peralihan sokongan ini tidak bermakna orang Melayu berpecah, sebaliknya mereka sedang bersatu di bawah payung BA untuk menegakkan keadilan.

Oleh itu, katanya, tidak timbul soal perpaduan Melayu untuk dibangkitkan sebagai isu pilihanraya umum akan datang.

Malah, katanya Umno tidak boleh menganggap apabila orang Melayu menolak parti itu, ianya dilihat sebagai satu perpecahan.

Mengulas mengenai isu perpaduan Melayu yang menurutnya dimainkan oleh media elektronik ke belakangan ini, Salahuddin berkata orang Melayu sentiasa bersatu untuk menegakkan keadilan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) menganggap persoalan perpaduan Melayu itu tidak lebih daripada permainan politik Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno menjelang pilihanraya umum.

Menurutnya, BN berbuat demikian setelah menyedari bahawa Umno tidak lagi popular di kalangan umat Islam semenjak 1998.

Kerajaan campuran

"PAS, semenjak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah menolak idea perpaduan ini, bahkan PAS adalah parti yang paling banyak mengadakan kerjasama untuk mewujudkan perpaduan, sama ada atas nama Islam, keadilan, Melayu, kemerdekaan, mahupun negara," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, PAS pernah bekerjasama dengan Umno dalam Persidangan Pertubuhan Siasah Melayu dan Konvensyen Kebangsaan pada 1953 untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Pada 1973, PAS telah membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan sebelum bersama-sama mengasaskan Barisan Nasional pada 1974 selepas tragedi politik Melayu pada 1969. PAS juga pernah bersama-sama dengan kerajaan untuk membantu isu nuklear dan memperjuangkan hak Palestin.

"Bahkan, PAS turut bekerjasama dengan pertubuhan lain demi perpaduan sehingga mengasaskan Barisan Kebangsaan Melayu (BKM) pada 1957, Harakah Keadilan Rakyat (HAK - 1986), Angkatan Perpaduan Ummah (APU - 1989-1996), Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak - 1998-99) dan BA semenjak 1999. Ini menggambarkan dengan jelas sikap PAS terhadap perpaduan," tambahnya.

Bagi Pemuda PAS pusat, katanya, isu perpaduan itu sengaja dibangkitkan oleh media yang dikuasai oleh Umno bagi memberi gambaran bahawa PAS mendukung idea perpecahan, bagi menarik semula sokongan orang Melayu yang menolak Umno pada 1999.

Bagaimanapun, katanya, jika Umno benar-benar ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS bagi tujuan perpaduan, parti itu tidak sepatutnya menggunakan media sebagai alat komunikasi dalam mewujudkan perpaduan.

Sebaliknya, kata Salahuddin, Umno hendaklah mengadakan rundingan secara langsung dengan PAS bagi membuktikan keikhlasannya.

Tahanan ISA

"Tetapi perpaduan yang hendak diwujudkan mestilah berada pada satu asas yang kukuh, iaitu mewujudkan perpaduan yang berasaskan Islam. Perpaduan atas nama perkauman dan semangat kebangsaan sudah tidak relevan untuk dibangkitkan pada masa ini.

"Sebaliknya perpaduan mestilah berteraskan keadilan, kebenaran, persamaan dan ketaatan kepada Allah. Hanya kesatuan akidah sahaja yang boleh melunturkan segala kepentingan bagi tujuan perpaduan umat Melayu Islam," tegas Salahuddin.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda PAS pusat meletakkan lima syarat untuk membolehkan perpaduan berasaskan aqidah itu diwujudkan di antara PAS dan Umno.

Pertama, kerajaan Barisan Nasional mestilah membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau membicarakan semula beliau secara adil.

Kedua, mestilah membebaskan semua tahanan ISA atau membicarakan mereka. Ketiga, menghapuskan semua akta yang zalim. Keempat, menerima Islam sebagai cara hidup dan pemerintahan negara.

Kelima, mengambil tindakan undang-undang ke atas pemimpin BN dan bekas pemimpin BN yang terlibat dengan pelbagai jenayah seperti salahlaku, salahguna kuasa, penyelewengan, rasuah, kronisme dan sebagainya.

"Kerajaan BN juga hendaklah menunaikan semua tuntutan yang dibuat bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor pada 2001, ketika isu perpaduan Melayu dibangkitkan oleh Umno," tambahnya.

Salahuddin berkata, pihaknya percaya, jika Umno menerima kesemua tuntutan itu, bukan sahaja PAS, malah rakan-rakan BA yang lain juga boleh menerima perpaduan Melayu yang cuba dimainkan oleh Umno itu.