Husam dakwa dividen Tabung Haji hasil pelaburan dalam syarikat perjudian
Ahli Parlimen PAS, Husam Musa hari ini mendakwa bahawa Tabung Haji mempunyai pelaburan tidak langsung dalam perniagaan perjudian lumba Pan Sweep Malaysia.
Ahli Parlimen PAS, Husam Musa hari ini mendakwa bahawa Tabung Haji mempunyai pelaburan tidak langsung dalam perniagaan perjudian lumba Pan Sweep Malaysia.
"Semakan saya dari laman web syarikat
Country Heights
pagi ini menunjukkan Tabung Haji memiliki 1.45 peratus atau 4 juta saham dalam syarikat tersebut.
"Country Heights pula memiliki 30 peratus saham dalam perjudian lumba Pan Sweep Malaysia. Secara tidak langsung, Tabung Haji dengan sendirinya terlibat dalam perniagaan perjudian," katanya.
Bagaimanapun malaysiakini tidak dapat melayari laman web berkenaan kerana laman web tersebut mengalami masalah teknikal.
Beliau membuat dakwaan itu dalam suratnya bertarikh hari ini, kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin.
Dalam surat bertajuk 'dividen Tabung Haji hasil pelaburan dalam syarikat perjudian' itu, Husam berkata, hasil semakannya di laman Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga menunjukkan tiada pergerakan penjualan saham berkenaan oleh Tabung Haji sampai kini.
Tabung Haji hari ini mengumumkan pemberian bonus empat peratus untuk tahun 2003 kepada 4.55 juta orang pendepositnya setelah ditolak zakat. Ia meningkat 0.5 peratus berbanding bonus 3.5 peratus tahun lalu.
"Mengikut kenyataan lamanweb Country Heights, dividen yang diperolehi oleh Country Heights daripada perjudian lumba kuda bagi tahun 2000 ialah RM6.2 juta, RM19.4 juta bagi tahun 2001 dan dijangka meningkat kepada RM26.2 juta pada tahun 2003," tegas Husam.
Penjelasan
Ahli Parlimen PAS dari Kubang Krian itu mendakwa, Country Heights mula menikmati dividen judi lumba kuda sejak tahun 2000.
Menurutnya lagi, BSKL telah dua kali membuat pengumuman bahawa Country Heights telah dikeluarkan daripada senarai kaunter syariah di bursa tersebut, masing-masing pada bulan April 2000 dan November 2002.
"Adakah para pengurus Tabung Haji tidak membaca kenyataan ini? Jika mereka membacanya, mengapa mereka tidak mengambil sebarang tindakan mengeluarkan pelaburan Tabung Haji dari kaunter yang melanggar syariah untuk membersihkan pelaburan pencarum Tabung Haji," tambahnya.
Menurut Husam lagi, sebelum Country Heights mendapat 30 peratus pegangan dalam Pan Sweep menerusi Nusa Pasifik, ia telah mengadakan mesyuarat agung khas dan telah mendapat persetujuan pemegang saham untuk meneruskan rancangan itu.
"Adakah Tabung Haji turut bersetuju dengan langkah ini pada waktu itu? Tentulah sesuatu yang mendukacitakan bagi pencarum Tabung Haji yang mengharapkan pelaburan yang halal dan bersih supaya amalan haji mereka dimakbulkan, tiba-tiba jatuh ke dalam pelaburan perjudian. Saya, isteri dan kesemua anak saya adalah antara pencarum tetap Tabung Haji," tegasnya.
Oleh, katanya, beliau bagi semua pencarum yang prihatan, menggesa Datuk Abdul Hamid supaya mengambil tindakan segera dan memberi penjelasan terhadap perkara itu.
"Selain itu, ketelitian dan sensitivi yang lebih tinggi daripada pengurusan Tabung Haji, khususnya dan kerajaan amnya, adalah sangat diharapkan," tambahnya dalam surat tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.