PAS sedia kerjasama dengan Umno untuk banteras jenayah rogol dan bunuh
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya boleh bekerjasama dengan Umno dan kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap jenayah kes rogol dan bunuh, yang semakin menular di negara ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya boleh bekerjasama dengan Umno dan kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap jenayah kes rogol dan bunuh, yang semakin menular di negara ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan pusat mengadakan muzakarah bagi mewujudkan undang-undang yang keras dan setimpal untuk mereka yang melakukan jenayah rogol dan bunuh.
Menurut
Bernama
, Abdul Hadi merasakan ia merupakan satu titik yang baik supaya diadakan satu muzakarah secara serius dalam menangani perkara ini kerana ia adalah satu isu yang lebih besar daripada isu pilihan raya.
"Ini adalah isu negara, isu yang perlu kita, PAS dan Umno, bekerjasama. Sebab itu saya merasakan adalah baik pihak kerajaan buat satu muzakarah," kata Abdul Hadi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu hari ini.
Melalui muzakaran itu, katanya, kerajaan pusat boleh menjemput pelbagai pihak -- wakil kerajaan, parti pembangkang, ulama, ahli akademik, golongan profesional, badan bukan kerajaan, majlis peguam dan juga wakil masyarakat bukan Islam -- bagi mendapat pandangan tanpa melibatkan isu politik semasa.
Hukuman sebat
Menurut Abdul Hadi, undang-undang sedia ada berhubung jenayah itu, terlalu lemah dan tidak dapat membantu membendung masalah itu dan sudah sampai masanya untuk menggunakan undang-undang Islam yang sememangnya baik.
"Ikut hukum Islam, kalau dia membunuh itu hukuman Qisas, kalau dia merogol itu hukuman zina.
"Di mana hukuman Qisas ini berkait dengan hak mengampun. Hak mengampun mengikut Islam mestilah dari mangsa dan bukan dari pihak yang berkenaan iaitu Lembaga Pengampunan. Dalam kes rogol, apabila sabit zina, kalau dia orang yang dah berkahwin, maka patut dihukum rejam sehingga mati dan kalau dia belum kahwin disebat 100 kali di khalayak ramai," katanya.
Sementara itu Abdul Hadi juga menjelaskan adalah tidak benar kerajaan negeri tidak membuat sebarang rancangan untuk sukan sejak memerintah sehingga menyebabkan Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan Majlis Sukan Negara Cawangan Terengganu.
Katanya, PAS telah membuat pelbagai aktiviti dan program sukan serta memberikan hadiah kepada atlet sukan yang telah mengharumkan nama negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.