Pemuda PAS: Syarat untuk cerminkan keikhlasan Umno bermuzakarah
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya mengenakan beberapa syarat bagi menjayakan muzakarah PAS-Umno, bertujuan mewujudkan suasana rundingan yang selesa bagi meningkatkan keberkesanan muzakarah di antara kedua-dua belah pihak.
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya mengenakan beberapa syarat bagi menjayakan muzakarah PAS-Umno, bertujuan mewujudkan suasana rundingan yang selesa bagi meningkatkan keberkesanan muzakarah di antara kedua-dua belah pihak.
Ketuanya, Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak mahu satu bentuk perpaduan palsu diwujudkan melalui muzakarah PAS-Umno, hanya di kalangan elit parti untuk tujuan pilihanraya, tetapi ahli-ahli masih bercakaran.
Sehubungan itu, DPP menolak andaian pihak media massa bahawa Pemuda PAS mempunyai pandangan yang bercanggah dengan pimpinan tertinggi parti, khususnya Mursyidul Amnya, Datuk Seri Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebelum ini, Abdul Hadi
berkata
, PAS tidak akan mengenakan sebarang syarat serta sanggup mengetepikan kepentingan politik bagi merealisasikan pertemuannya dengan Umno bagi menyelesaikan secara bersama, segala isu yang berbangkit ketika ini termasuk soal akidah.
Katanya, meskipun DPP membuat kenyataan bahawa PAS harus mengenakan syarat-syarat tertentu, ia tidak menggambarkan pandangan dan pendirian kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
Sehubungan itu, Salahuddin berkata, pihaknya bersetuju untuk bermuzakarah dengan Umno tanpa sebarang syarat dari segi isu-isu dan pendekatan muzakarah.
"Bahkan DPP mahu muzakarah ini diadakan secara terbuka untuk membolehkan rakyat mengikutinya, sekaligus memahami isu sebenar yang dibincangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lima syarat
"Apa yang dimaksudkan sebagai syarat oleh DPP adalah tindakan awal yang mesti diambil oleh Umno selaku parti utama dalam kerajaan BN bagi mewujudkan satu keadaan yang benar-benar ikhlas dan selesa untuk sebarang perundingan.
"Tanpa keselesaan, bagaimana satu perundingan dapat dijalankan secara ikhlas dan berkesan," tegasnya.
Lima syarat yang dikenakan oleh Pemuda PAS ialah membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau membicarakannya semula secara adil; bebaskan tahanan ISA atau membicarakan mereka; hapuskan semua akta zalim; menerima Islam sebagai cara hidup dan pemerintahan negara dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemimpin BN dan bekas pemimpin BN yang terlibat dengan jenayah seperti salahlaku, salahguna kuasa, penyelewengan, rasuah, kronisme dan sebagainya.
DPP, kata Salahuddin, tetap bertegas bahawa tidak mungkin wujud satu muzakarah yang berkesan sekiranya Umno terus berdegil untuk tidak mahu melangsaikan semua syarat yang digariskan oleh pergerakan itu sebelum ini.
Katanya, Umno patut menyedari bahawa perpecahan orang Melayu yang didakwa berlaku secara besar-besaran selepas 1998 adalah berikutan tindakan zalim parti itu terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri (DPM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya lagi, Umno kemudiannya mengenakan sekatan politik terhadap PAS dengan menyekat ceramah dan permit Harakah, mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Kelantan dan Terengganu yang dikuasai oleh PAS - sama ada dalam isu hudud, royalti petroleum, mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
"Oleh itu, satu bentuk perpaduan yang berkesan hanya boleh wujud sekiranya Umno mengembalikan semula hak rakyat, termasuk membebaskan Anwar, menghapuskan penyelewengan dan mengembalikan hak rakyat Kelantan dan Terengganu," tegas Salahuddin.
Menurutnya, untuk mewujudkan perpaduan tulen, Umno, melalui kerajaan BN mesti melaksanakan syarat-syarat yang digariskan oleh Pemuda PAS pusat.
Isu sosial
"Rakyat yang menolak Umno kerana kezaliman terhadap Anwar pada 1998 akan menerima muzakarah ini jika Anwar diberi keadilan. Begitu juga rakyat dizalimi melalui cara-cara yang lain.
"Dengan cara seperti ini, perpaduan yang diusahakan oleh pimpinan parti akan memberi kesan positif kepada ahli-ahli," tambahnya.
Menurut Salahuddin lagi, jika syarat-syarat ini dipenuhi, pihaknya percaya satu proses muzakarah yang berkesan tanpa sebarang syarat, akan dapat dilaksanakan dan disokong oleh setiap lapisan rakyat.
"DPP juga percaya, muzakarah terbuka antara pemimpin tertinggi parti, akan dapat menyelesaikan beberapa isu tertunggak di kalangan umat Islam, khususnya untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh di negara ini bagi menangani isu-isu sosial yang semakin parah sekarang ini," tambahnya.
Sementara itu, Bernama memetik setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaacob Isnin sebagai berkata, dialog antara Umno dan PAS tidak akan menumpukan kepada soal-soal politik, sebaliknya akan berkisar sekitar masalah akidah dan agama.
Sambil menegaskan yang perkara itu sedang dibincangkan oleh biro politik Umno, beliau yang juga menteri penerangan berkata, interpretasi mengenai akidah akan diberi tumpuan kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Ditemui selepas mengunjungi Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Khalil berkata soal akidah dan agama bukan merupakan soal politik tetapi ianya mempunyai kepentingan, tidak kira sama ada Umno atau PAS.
Menurutnya lagi , perkara itu juga ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini dan biro politik Umno akan membincangkan perkara itu terlebih dahulu.

