M'sia lebih sedia hadapi kemungkinan krisis ekonomi
Malaysia lebih bersedia menghadapi kemungkinan berulang krisis ekonomi dunia 2008/2009 pada tahun depan berikutan perkembangan tidak sihat yang berlaku di Eropah dan beberapa negara barat serta Asia Barat sekarang memberi kesan terhadap ekonomi dunia.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata antara langkah yang diambil ialah menggalakan pelaburan oleh pelabur tempatan dan menumpu ke negara selain negara pasaran tradisional.
Katanya Malaysia akan tetap menerima kesan secara terus sekiranya perdagangan dunia merosot dan sebab itu langkah-langkah menghadapinya perlu dirancang lebih awal.
"Tindakan yang diambil adalah untuk mempertahankan ekonomi, pelaburan asing dan domestik kerana kesan kejatuhan ekonomi dunia 2008 dan 2009 telah cukup merosakkan usaha kita membina ekonomi negara.
"Sekarang kita melihat kepada negara-negara bukan tradisional seperti Asean dan negara-negara ekonomi baharu muncul selain China," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Persekitaran Berkualiti (5S) kepada Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan tiga anak syarikatnya di Kulim hari ini.
Menurut Mukhriz, selain mengesksport produk berasaskan teknologi, pembuatan dan perkhidmatan, Malaysia berusaha kuat untuk mengeksploitasi pengeluaran produk makanan halal yang mempunyai potensi dan pasaran besar di seluruh dunia.
"Dari segi pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan dalam negeri (DDI) dari Januari hingga Oktober lepas, nisbah sekarang adalah 48.4 (FDI):51.6 (DDI). Angka ini bagaimanapun berubah menjadi hampir 50:50," katanya.
Beliau berkata kebanyakan pelabur tempatan melabur dalam bidang eletrik dan eletronik (E&E), pembuatan, besi, petroleum dan petrokimia manakala pelabur asing dalam bidang automotif dan alat ganti, besi, fabrikasi, E&E dan juga petroleum dan petrokimia.
Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata Malaysia berada di tempat ke-21 tahun ini berbanding 26 tahun lepas dari segi tarikan dan daya saing dalam menyediakan kemudahan pelaburan yang kondusif.
"Kita perlu lakukan banyak lagi usaha untuk berada dalam kedudukan 10 teratas. Antara kaedahnya ialah memberi fokus lebih dalam urusan dengan pelabur asing memandangkan Malaysia menyediakan prasarana yang cukup baik dan contoh terbaik adalah di Kulim High-Teck Park ini (KHTP)," katanya.
Beliau berkata keputusan syarikat Panasonic dari Jepun untuk melabur RM1.84 bilion dalam pembuatan solar di KHTP membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap daya saing Malaysia yang bukan lagi tertumpu dalam bidang berasas tenaga buruh.
Mukhriz berkata Sarawak mendahului penerimaan pelaburan (FDI dan DDI) dari Januari hingga Oktober tahun ini berjumlah RM7.3 bilion, diikuti Selangor (RM6.8 bilion); Johor (RM6.7 bilion); Pulau Pinang (RM5.7 bilion); Negeri Sembilan (RM3.5 bilion).
Pahang (RM2.9 bilion); Terengganu (RM1.4 bilion); Perak (RM966 juta); Kedah (RM765 juta); Sabah (RM720 juta); Kuala Lumpur (RM299 juta); Kelantan (RM129 juta) dan Perlis (RM23 juta).
Di majalis itu, beliau menyampaikan sijil 5S kepada Presiden KTPC, Mohamad Sobri Osman dan tiga anak syarikatnya iaitu Kulim Technology Management Sdn Bhd, KUlim Golf and Country Resort Sdn Bhd dan Kedah Bioresources Corporation Sdn Bhd.
- Bernama

