Parti PAS hari ini menawarkan diri untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi-agensinya untuk memerangi masalah penyalahgunaan dadah yang kini semakin parah dan meruncing kerana sebahagian besarnya adalah orang Melayu.

Setiausaha agungnya, NasharuddinMat Isa berkata, berdasarkan laporan akhbar, seramai 235,495 penagih dadah direkodkan di antara tahun 1998 hingga 2002 dan hampir 70 peratus daripada mereka adalah orang Melayu.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa seramai 91,447 penagih dadah dikesan di seluruh negara di antara tahun 2001 hingga Oktober tahun lalu sahaja, dengan hampir 70 peratus daripadanya membabitkan orang Melayu.

Laporan itu juga menyebut seramai 235,495 penagih dadah direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsan (ADK) sejak tahun 1998 hingga tahun 2002.

Bagaimanapun, laporan akhbar berkenaan, hanya merujuk kepada penagih yang berjaya dikesan dalam tempoh itu sahaja dan jumlah keseluruhannya mungkin lebih besar lagi.

Manakala Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) pula menganggap kewujudan lebih suku juta penagih dadah di negara ini sekarang sebagai `bom jangka' yang boleh mencetuskan pelbagai masalah besar termasuk ancaman jenayah kepada rakyat.

Menurut Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Idris Ibrahim peningkatan kes jenayah termasuk samun, pecah rumah, rogol dan pembunuhan ke atas kanak-kanak yang berleluasa sekarang, turut berpunca daripada kehadiran terlalu ramai penagih dadah dalam masyarakat.

Salur maklumat

Sambil menyifatkan jumlah tersebut sebagai amat menggerunkan, Nasharuddin berkata, selain berkerjasama dengan pihak berkuasa, PAS juga bersedia menggembleng tenaga ahli-ahli parti itu bagi memerangi penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

Bagi membolehkan PAS membantu pihak berkuasa, Nasharuddin mencadangkan beberapa langkah segera, termasuk melantik parti itu menjadi anggota tetap jentera yang terlibat dalam operasi dan merangka strategi untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah,

Katanya, PAS bersedia hadir dalam mesyuarat dengan Agensi Dadah Kebangsaan di semua peringkat nasional, negeri dan daerah.

PAS juga, katanya, bersedia membuka perkhidmatan kaunseling dan nasihat di semua pusat khidmat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk membantu penagih dan menggerakkan operasi membanteras penyalahgunaan dadah, dengan penglibatan pihak berkuasa.

"PAS akan terus mempergiat dan memperluaskan lagi penglibatan agensi-agensi pembasmian dadah di dalam majlis dan program anjuran PAS di seluruh negara dengan tujuan menyalurkan maklumat kepada masyarakat dalam merangka strategi pencegahan," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, PAS hendaklah dibenarkan bersama-sama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan menggunakan kemudahan kerajaan dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut dan seterusnya menjayakan strategi yang dirangka itu.