Ahli Parlimen PAS dari Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar mencadangkan supaya sistem pengagihan projek kecil yang dibuat melalui wakil rakyat yang diamalkan oleh kerajaan sekarang ditarik balik dengan segera dan digantikan dengan pengagihan melalui tender terbuka.

"Pengagihan projek kecil kerajaan melalui wakil rakyat atau ketua bahagian (Umno/Barisan Nasional) boleh membuka ruang kepada perbuatan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan wang kerajaan," katanya dalam suratnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini. Salinan surat itu turut di hantar kepada malaysiakini .

Menurutnya ini terbukti berikutan penangkapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Palong, Datuk Kamarudin Mohd Din ketika menerima wang RM3,000 daripada seorang lelaki di sebuah restoran di Bahau, Negeri Sembilan, kelmarin.

Ia dipercayai sebagai balasan kerana memberi peruntukan projek kecil di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar kepada kontraktor kelas F di sekitar DUN Palong dan Kamarudin berhak menentukan jumlah dan nilai projek yang perlu diagihkan kepada kontraktor yang beliau pilih.

Keseluruhan peruntukan projek kecil itu disalurkan melalui pejabat daerah Jempol, Negeri Sembilan.

Kamarudin, 50, ditahan kira-kira jam 6.15 petang oleh pegawai daripada unit siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan sebaik sahaja menerima wang ditanda BPR berjumlah RM3,000, iaitu 30 wang kertas bernilai RM100 setiap satu daripada lelaki berkenaan.

Majlis Tertinggi

Pengarah BPR Negeri Sembilan, Jalil Jaaffar mengesahkan penahanan wakil rakyat itu bersama seorang kenalannya yang berusia 40-an. Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Kamarudin yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Jempol, pernah pada 1996 digantung keahliannya oleh Majlis Tertinggi Umno bersama empat ahli lain kerana didapati terbabit dalam politik wang. Bagaimanapun, kedudukan Kamarudin sebagai wakil rakyat Umno kekal.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat itu lagi, kejadian tersebut mendukacitakan bagi rakyat yang mengharapkan projek-projek yang dilaksanakan, bersih daripada unsur rasuah dan penyelewengan wang kerajaan.

Berikutan itu, beliau bagi pihak rakyat yang prihatin, mengharapkan Abdullah memberi penjelasan dan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.

Sementara itu, PAS kesal dengan kenyataan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dilaporkan berkata TNB membuat keuntungan sedangkan ia mengalami kerugian RM26.4 juta dalam suku tahun pertama 2004, berbanding keuntungan RM663.2 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Malangnya Pengerusi TNB dilaporkan dalam akhbar perdana berbahasa Melayu dan berita RTM serta TV3 sebagai membuat keuntungan. Kami amat kecewa dengan sikap TNB yang cuba mengelirukan masyarakat tentang keadaan sebenar untung-rugi TNB.

Tukaran asing

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pembangkang hari ini, sikap sedemikian amat bertentangan dengan pendirian yang diutarakan oleh Perdana Menteri yang mahukan maklumat sebenar disampaikan kepada beliau dan rakyat.

Laporan akhbar Berita Harian hari ini memetik Awang Adek sebagai berkata TNB mencatat keuntungan operasi sebanyak RM859.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2004 berakhir 30 November lalu - meningkat 8.8 peratus berbanding RM790.1 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kata beliau, pengukuhan yen, pound sterling dan euro berbanding dolar Amerika, menyebabkan TNB mengalami kerugian tukaran mata wang asing RM382.7 juta sepanjang tempoh itu, berbanding keuntungan mata wang asing RM293.5 juta dalam tempoh sama sebelumnya.

Menurut Awang Adek lagi, selepas menolak item bukan tunai membabitkan kerugian daripada tukaran mata wang asing dan percukaian tertangguh RM153 juta, TNB mengalami kerugian bersih RM26.4 juta pada tempoh yang dikaji.

Berikutan itu, PAS mendesak supaya pengerusi TNB diganti dengan seorang profesional yang bersikap telus.

"PAS juga mendesak supaya TNB tidak menggunakan alasan kerugian suku tahun pertama 2004 sebagai alasan untuk menaikkan kadar tarif elektrik negara ini," tambah kenyataan tersebut.