Dua pemimpin muda parti Keadilan - ketua pemudanya, Ezam Mohd Noor dan ahli kepimpinan tertinggi (MPT) Keadilan, Dr Badrulamin Bahron - disebut-sebut mungkin bertanding kerusi Parlimen di Kelantan.

Menurut sumber-sumber, pada dasarnya, kepimpinan PAS dikatakan bersedia menimbang untuk memberi kerusi Parlimen yang selamat untuk ditandingi oleh Ezam dan Dr Badrulamin bagi memastikan suara mereka dapat didengar di Parlimen.

"Memandangkan pengorbanan besar mereka terhadap perjuangan Barisan Alternatif (BA) amnya, dan Keadilan khasnya, sudah sepatutnya mereka dipertimbang bertanding di kerusi yang boleh menjamin kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang," tambah sumber-sumber itu lagi.

Ezam dan Dr Badrulamin pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dalam pilihanraya umum 1999, Ezam bertanding bagi kerusi Parlimen Shah Alam. Walaupun tewas, Ezam berjaya memperolehi 34,411 undi dan tewas hanya dengan majoriti 1,440 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zin Mohamed. BN memperolehi majoriti 40,715 undi pada 1995.

Manakala Dr Badrulamin pula bertanding bagi kerusi Parlimen Silam di Sabah. Beliau tewas kepada calon BN, Datuk Raily Jeffry dengan majoriti 6,519 undi. Dr Badrulamin memperolehi 8,110 undi manakala Raily mendapat 14,629 undi.

Isu Anwar

Walaupun hanya tewas dengan kira-kira 1,000 undi sahaja tetapi suasana ketika itu yang panas dengan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan banyak membantu Ezam mendapat undi, termasuk dari kalangan orang Umno sendiri.

Bagaimanapun, keadaan sekarang mungkin agak berbeza dengan sokongan terhadap Ezam juga, jika beliau masih mahu bertanding di kawasan yang sama.

Oleh itu, kata sumber-sumber tersebut, buat masa ini, kerusi Parlimen yang paling selamat untuk Ezam dan Dr Badrulamin ialah di Kelantan, yang dikuasai oleh PAS.

Ditanya kawasan Parlimen yang mungkin ditawarkan kepada kedua-dua pemimpin muda Keadilan itu, sumber-sumber tersebut berkata, pihaknya ada mendengar desas-desus yang Dr Badrulamin mungkin dicalonkan bagi di Kota Bharu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti kerusi Parlimen yang mana satu yang mungkin ditawarkan kepada Ezam.

Sementara itu, sumber-sumber yang rapat dengan kepimpinan PAS ketika ditanya mengenai perkara itu, enggan mengesah atau menafikannya.

Jentera pilihanraya

Sebaliknya, tanbah sumber-sumber, ianya merupakan satu cadangan yang baik dan perlu dipertimbangkan oleh Ezam dan Badrulamin serta kepimpinan tertinggi PAS pusat.

"Saya rasa itu lebih baik daripada mereka bertanding di tempat lain, termasuk di Selangor, tetapi kalah. Sudah tiba masanya suara mereka didengar di Parlimen.

"Dengan kekuatan jentera pilihanraya PAS di Kelantan, kemenangan sudah terjamin bagi mereka berdua...mereka perlu memikirkan perkara ini dengan serius...saya bersetuju dengan cadangan itu...," tambah sumber-sumber itu.

Menurutnya, walaupun Keadilan lebih berminat untuk menjadikan Selangor sebagai sasaran utamanya dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi peluang parti itu untuk bertapak di negeri tersebut belum tentu menjadi kenyataan.

Sebaliknya, katanya, pada amnya, jentera pilihanraya Keadilan di peringkat akar umbi di Selangor tidaklah sekuat jentera pilihanraya PAS di peringkat cawangan dan kawasan.

Pada umumnya, jelas beliau, kekuatan jentera pilihanraya Barisan Alternatif sebenarnya banyak bergantung kepada kekuatan jentera PAS di semua peringkat.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik bagi Keadilan memastikan pemimpin-pemimpin utamanya bertanding di kawasan yang dianggap selamat bagi memastikan mereka terpilih mewakili rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen selepas pilihanraya umum nanti.

Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi empat kerusi DUN di Kajang (Dr Shafie Abu Bakar), Sungai Besar (Sallehen Mukhyi), Sungai Burung (Datuk Hasan Ali) dan Gombak Setia (Datuk Ismail Kamus).

Keadilan pula memenangi satu kerusi di Hulu Kelang (Azmin Ali) manakala DAP juga menang satu kerusi di Bandar Klang (Teng Chang Khim).