Jom kita jumpa, kata Pua pada Zahid
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini menerima pelawaan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bertemu, bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengapa berbilion ringgit dibayar untuk pembelian pertahanan tahun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pua berkata Zahid bagaimanapun perlu menjelaskan kesemua pembelian berjumlah RM16.6 bilion dan bukan setakat RM9 bilion untuk pembelian kapal peronda generasi kedua.
"Ahli parlimen Pakatan, termasuk (ahli parlimen PKR) Nurul Izzah Anwar dan (ahli parlimen PAS Kuala Selangor) Dzulkefly Ahmad, lebih daripada bersedia untuk menerima tawaran tersebut.
"Bagaimanapun, beliau bukan sahaja perlu memberi penjelasan mengenai (kapal-kapal peronda tersebut) tetapi juga perolehan mega lain - 257 kereta perisai (APV) bernilai RM7.55 bilion tahun ini," kata Puah yang juga ketua publisiti DAP.
Semalam, Ahmad Zahid mempelawa Pua (kiri) dan presiden KITA, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertemu supaya beliau boleh menjawab persoalan mereka mengenai kapal peronda tersebut, yang juga dikenali sebagai kapal tempur pesisir (LCS).
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan di mana Pua mendapat maklumat bahawa harga enam kapal peronda itu telah meningkat daripada RM6 bilion kepada RM9 bilion.
Ahmad Zahid kemudian bertanya sama ada Pua disuap maklumat daripada aktivis Suaram, Kua Kia Soong.

