Pegawai pilihanraya yang pilih kasih akan dipecat serta-merta
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini memberi jaminan akan memecat mana-mana pegawai pilihanraya yang terbukti bersikap pilih kasih atau terlibat dalam kegiatan politik.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini memberi jaminan akan memecat mana-mana pegawai pilihanraya yang terbukti bersikap pilih kasih atau terlibat dalam kegiatan politik.
Ketika menegaskan demikian pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, pegawai pilihanraya mesti adil kepada semua pihak dan tidak boleh memberi layanan yang lebih kepada satu pihak dan tidak melayan pihak yang lain.
Katanya, pasukan pemantau yang akan diwujudkan di semua kawasan Parlimen semasa pilihanraya umum akan turut diberi tugas menilai pegawai pilihanraya yang dilantik supaya mereka berlaku adil kepada semua pihak dan mematuhi undang-undang.
Bernama memetik Abdul Rashid sebagai berkata, pasukan pemantau itu dianggotai oleh seorang pegawai SPR, wakil polis, kerajaan tempatan dan wakil-wakil parti yang bertanding.
"Dia kena adil kepada semua pihak dan tidak pilih kasih. Kita ada penguatkuasa dan kalau ada laporan (pegawai tidak adil), kita akan bertindak serta-merta dan kalau ada bukti cukup, dia boleh dipecat," katanya selepas menyampaikan taklimat kepada petugas pilihanraya bagi Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
"Pegawai terbabit mesti tidak terlibat dalam politik, maksudnya dia tidak boleh memberi layanan yang lebih kepada satu pihak, tak layan satu pihak yang lain. Semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya mempunyai hak yang sama untuk mendapat layanan daripada pegawai pilihan raya dan ketua-ketua tempat mengundi.
Selesai
Abdul Rashid berkata, anggota pasukan pemantau itu telah dikenalpasti dan dilatih mengenai tugas mengendalikan pilihanraya.
Surat perlantikan mereka, katanya, akan dikeluarkan sebaik sahaja Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Menurut Abdul Rashid lagi, SPR sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sekarang.
Mengenai laporan akhbar yang memetik Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tangkak Datuk Yap Chik Dong yang menyatakan namanya telah dipindahkan ke kawasan Bagan Pinang di Port Dickson, Abdul Rashid berkata, SPR negeri telah menyelesaikan masalah itu dengan memindahkan kembali nama beliau ke kawasan Tangkak.
"Sejak tahun 2000 sehingga sekarang, tidak ada nama dipindahkan sewenang-wenangnya sebab proses pemindahan pengundi mesti dilakukan sendiri oleh pengundi itu dengan membawa kad pengenalan yang menunjukkan di mana tempat tinggalnya yang baru, mengikut yang tercatat dalam kad pengenalannya. Kalau pun ini berlaku, ia mungkin berlaku sebelum itu," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.