Christopher Fernando, peguam bela kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed akan hadir di mahkamah pada pagi Khamis ini. Bagaimanapun, jika Mahathir gagal hadir, Christopher berkata pihaknya mungkin akan meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri.

"Mahathir mesti datang ke mahkamah pagi Khamis ini. Kami sudah memberikan notis berhubung hal ini kepada pihak pendakwaan," katanya.

Seorang peguam dari pihak pendakwaan yang tidak mahu dikenali mengesahkan bahawa satu notis untuk Mahathir memberikan keterangan dalam perbincaraan yang kontroversi itu sudah diserahkan oleh pihak pembelaan.

"Kami percaya Jabatan Peguam Negara sudah menyampaikan perkara itu kepada Jabatan Perdana Menteri walau jawabannya belum diketahui," katanya.

Beliau menambah pihak peguam bela harus yakin dalam hal ini. "Jika sapina itu telah dikeluarkan, Mahathir pasti akan hadir," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Kanan, Datuk Abdul Gani Patail tidak bersedia memberikan ulasan apabila ditanya. Beliau tidak menjawab bilakah waran tangkap akan dikeluarkan jika Mahathir gagal hadir di mahkamah Khamis ini. Pihak pendakwaan dipercayai akan mencabar sapina itu.

"Secara rasmi, saya tidak sewajarnya mengulas hal ini kerana kesnya masih berjalan. Apa sahaja yang saya sebut akan dikira sebagai sub judice ," kata Gani kepada malaysiakini .

Mahathir sebelum ini berkata bahawa beliau tidak keberatan hadir di mahkamah tetapi hanya akan menjawab soalan-soalan yang relevan. Soalan itu, katanya, sewajarnya berkaitan dengan liwat dan bukannya konspirasi untuk menjatuhkan bekas timbalannya yang kini dipenjarakan.

Hari ini, peguam bela menyoal beberapa orang wartawan yang pernah hadir satu sidang akhbar pada 24 Ogos 1997 di mana Mahathir bercakap panjang lebar mengenai salah laku seks Anwar.