Pengagihan kerusi PAS-Keadilan selesai minggu depan
Pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) akan diselesaikan minggu depan, kata setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa.
Pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) akan diselesaikan minggu depan, kata setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa.
Katanya, ini termasuk soal pertindihan kerusi yang hendak ditandingi kedua-dua parti itu di Selangor dan Pulau Pinang dan ianya dijangka diselesaikan minggu depan.
"Ada pertindihan dengan Keadilan tetapi secara umumnya, semua pembahagian telahpun selesai. Hanya satu dua kerusi di Selangor dan satu dua kerusi di Pulau Pinang yang belum selesai," katanya dalam satu lapuran
Bernama
.
Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi 27 daripada 62 kerusi Parlimen yang ditandinginya manakala Keadilan yang bertanding di 58 kerusi Parlimen, dan hanya menang lima sahaja.
PAS juga menang di 98 daripada 234 kerusi DUN yang ditandinginya. Keadilan pula bertanding di 70 kerusi DUN dan berjaya memenangi empat daripadanya.
Bagaimanapun, berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya, kerusi Parlimen bagi pilihanraya umum akan datang, telah bertambah daripada 194 kepada 219, manakala kerusi DUN meningkat daripada 440 kepada 503.
Pertindihan kerusi
Nasharuddin bagaimanapun, tidak dapat menjelaskan sama ada pertindihan kerusi di Selangor dan Pulau Pinang itu membabitkan kerusi baru.
Mengenai kemungkinan berlaku pertindihan kerusi yang ditandingi parti pembangkang berikutan penarikan DAP daripada pakatan parti pembangkang - Barisan Alternatif - beliau menjelaskan perkara itu tidak berlaku.
"PAS tidak berminat dengan kawasan yang akan ditandingi DAP dan parti itu juga tidak berminat dengan kawasan yang ditandingi PAS," katanya.
DAP meninggalkan pakatan BA sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan perjuangan parti PAS untuk mewujudkan sebuah negara Islam di negara ini.
Tindakan DAP itu telah memberikan kesan negatif kepada parti tersebut apabila ianya hanya memenangi 10 kerusi Parlimen dan 11 DUN dalam pilihanraya umum lalu.

