Khatib yang didakwa mempersendakan keluarga mangsa rogol, Nurul Huda Abdul Ghani, menafikan sekeras-kerasnya beliau berbuat demikian ketika membaca khutbah Jumaat di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh bulan lalu.

Khatib berkenaan, Ustaz Azmi Abdullah berkata, beliau tidak pernah menyebut ayat yang mengatakan apa yang berlaku terhadap Nurul Huda merupakan balasan Allah swt, kerana ayah mangsa seorang pemimpin Umno.

Sebaliknya, beliau mendakwa, ayat itu cuba diputarbelitkan seorang penulis surat dalam ruang forum sebuah akhbar tempatan pada 29 Januari 2004 yang menuduhkan khatib menggunakan mimbar masjid untuk kepentingan politik.

"Semua pihak tidak wajar menuduh apa yang saya perkatakan berdasarkan surat pembaca sebaliknya berjumpa dan bertanya terus kerana saya mempunyai pita rakaman.

"Saya menafikan apa yang menjadi perbualan hari ini kononnya khutbah yang disampaikan pada 23 Januari 2004 itu mempersendakan keluarga Allahyarham Nurul Huda. Sebaliknya, ia adalah fitnah yang sengaja direka dalam ruang forum akhbar tersebut sahaja," ujarnya.

Laporan Harakah Online hari ini memetik Azmi sebagai berkata, apa yang disebutnya ialah negara dikejutkan dengan kes rogol anak Ketua Umno Cawangan Pekajang, Tanjung Kupang, Johor, Abdul Ghani Juni dan sebelum ini berlaku pada adik Harirawati di Sabah.

"Mengapa perkara ini boleh berlaku di dalam sebuah negara yang didakwa aman sentosa. Mengapa perkara ini boleh berlaku dalam negara yang didakwa aman dan jika ditanya kepada ayahnya, apakah beliau setuju kalau sekiranya sebat 100 rotan atau rejam sampai mati dikenakan terhadap persalah.

Propaganda politik

"Saya yakin dan percaya beliau akan menjawab ya walaupun barangkali sebelum ini beliau turut menentang hukum Allah kerana berada dalam Umno, " tegas Azmi yang kesal isu itu sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak Umno dan akhbar, hanya berdasarkan surat pembaca, bukannya rakaman.

Penulis surat tersebut mendakwa khutbah yang disampaikan oleh ustaz pro-pembangkang di masjid tersebut diselitkan dengan propaganda politik, dengan mempersendakan keluarga mangsa rogol, Nurul Huda.

Nurul Huda, anak bongsu kepada ketua Umno cawangan Kampung Pekajang itu, dibunuh selepas dirogol di pondok kawalan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad, Tanjung Kupang, Johor, 17 Januari lalu.

Azmi berpendapat, isu ini tiba-tiba menjadi panas kerana ia berlaku di Masjid Batu, Kampung Pertama dalam kawasan parlimen Permatang Pauh.

Berikutan itu, katanya, beliau telah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar kerana membesar-besarkan isu ini dan penulis surat tersebut kerana sanggup memutarbelitkan khutbah yang disampaikan pada hari itu.

"Setakat ini saya telah berjumpa peguam untuk menyaman akhbar serta penulis berkenaan kerana bersikap sedemikian. Lagipun, penulis itu telah dikenal pasti di mana kediaman dan telefonnya, " ujar Azmi.

Selain kepimpinan Umno, khatib tersebut juga ditegur oleh Mursyidur Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menegaskan perbuatan mempersendakan kematian Nurul Huda adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang peribadi seseorang itu disebut dalam khutbah.

Siasatan polis

Menteri Besar Kelantan itu berkata, larangan tersebut bukan sahaja terhad dalam masjid malah ia turut melibatkan semua ceramah termasuk kawasan terbuka.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau tidak mahu mimbar masjid digunakan sebagai "perangkap masyarakat'' oleh khatib ketika membaca khutbah dengan menyebarkan pandangan tidak betul dan mengelirukan.

Katanya, beliau sangat tidak senang hati dengan tindakan sedemikian kerana ia boleh menimbulkan salah faham di kalangan mereka yang bersembahyang di masjid, sambil merujuk kes khatib di Permatang Pauh mempersendakan kematian Nurul Huda.

Abdullah menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menzalimi keluarga berkenaan yang sedang menderita dengan kejadian tersebut.

Sementara Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Othman Talib dilaporkan berkata pihak polis mempunyai rakaman penuh khutbah tersebut.

Katanya, polis sedang meneliti kandungan khutbah itu untuk memastikan terdapat unsur memecahbelahkan masyarakat di samping menentukannya sama ada ia menyalahi undang-undang atau sebaliknya.

Othman berkata, polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun.