Karpal dakwa bekas hakim S'pura kelirukan CJ
Peguam Karpal Singh mendakwa bekas hakim Singapure, GP Selvam telah "mengelirukan" Ketua Hakim Negara dalam komunikasinya berhubung kes seorang hakim yang didakwa melakukan plagiarisme.
"Saya terkejut dengan kenyataan hakim bersara Singapura GP
Selvam, dalam suratnya yang bertarikh 2 November kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria, bahawa tidak ada sebab untuk mengadu tentang plagiarisme terhadap seorang hakim Malaysia.
"... Tiada keraguan lagi bahawa surat Selvam ... tidak mengandungi kebenaran. Saya terkejut kerana seorang hakim yang telah bersara sanggup untuk berbohong," kata pengerusi kebangsaan DAP itu, dalam satu kenyataan hari ini.
Karpal mencabar Selvam untuk menafikan kenyataan yang memetiknya dalam media pada tahun 2000 berhubung perkara itu.
Katanya, laporan The Straits Times (Singapura) pada 18 Mac 2000 memetik GP Selvam sebagai menuduh hakim Malaysia itu telah mendapat salinan penghakimannya melalui seorang peguam dan menirunya.
Menurut Karpal lagi, Selvam juga dipetik sebagai berkata hakim Malaysia itu telah mengundurkan tarikhnya supaya umum 'akan fikir beliau (Selvam) yang menirunya'.
Peguam veteran itu juga memetik laporan New Straits Times pada hari yang sama memetik Ketua Hakim Negara Malaysia, Tun Eusoff Chin, "telah menulis kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Yong Pung How, untuk meminta maklumat lanjut mengenai dakwaan plagiarisme itu".
[Baca berita penuh]

