Tiga anggota Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang dilantik semula memegang jawatan itu tidak dibenarkan mengangkat sumpah hari ini kerana mereka tidak memakai songkok.

    

Dua daripada mereka mewakili MCA sementara seorang lagi mewakili parti Gerakan.

    

Mereka adalah antara 23 anggota MPK yang dijemput untuk mengangkat sumpah  memegang jawatan hari ini.

    

Yang Dipertua MPK, Rosley Mat memberitahu pemberita setiap anggota MPK diperlukan memakai songkok ketika mengangkat sumpah jawatan dan menghadiri mesyuarat penuh bulanan sebagai mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

    

Peraturan berkenaan telah dibuat dengan persetujuan ahli MPK sendiri tiga bulan lalu, dengan diwajibkan memakai baju Melayu atau "long suit" serta bersongkok bagi ahli lelaki sementara bagi ahli wanita perlu memakai baju kurung atau blazer, jelasnya.

"Saya memegang penuh peraturan ini dan dengan sebab yang demikian saya tidak dapat memanggil mereka yang engkar untuk mengangkat sumpah walaupun mereka hadir di dalam majlis," kata Rosley sambil menegaskan ia bukan keputusannya tetapi adalah keputusan majlis.

    

Beliau berkata ketiga-tiganya boleh mengangkat sumpah pada bila-bila masa apabila mereka telah bersedia untuk memakai songkok dan sementara itu mereka  tidak akan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat bulanan MPK yang akan datang.

    

Katanya salah seorang daripada ahli majlis tersebut sebelum ini telah dilantik untuk mempengerusikan sebuah portfolio dalam MPK, tetapi dengan timbulnya perkara berkenaan, tempat ahli majlis itu akan diganti oleh ahli majlis yang lain.

    

Sementara itu Rosley berkata MPK menambah satu lagi portfolio pada tahun ini iaitu Portfolio Pemantauan menjadikan lapan portfolio kesemuanya.

- Bernama