MB gesa peneroka sokong senaraikan saham Felda
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengulangi gesaan agar peneroka memberi sepenuh kepercayaan kepada Felda untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Ini kerana katanya, kerajaan yang dipimpin BN bukanlah pentadbir yang zalim mahupun membohongi rakyat dalam apa juga keputusan membabitkan masyarakat.
"Apa pun yang dilakukan kerajaan pada hari ini, semata-mata untuk kebaikan rakyat dan negara, dan ini terbukti apabila ekonomi negara semakin berkembang maju berbanding sesetengah negara lain rakyatnya semakin terhimpit, menderita, susah malah ada negara yang hampir muflis," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan dan penerangan bersama pegawai serta pemimpin tanah rancangan Felda Pahang Barat, di Temerloh semalam.
Sehubungan itu, beliau meminta peneroka menyokong usaha kerajaan untuk menyenaraikan saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia pertengahan tahun ini yang bertujuan memperluaskan aktiviti perniagaan Felda.
"Felda tidak boleh lagi bergantung kepada mengurus ladang semata-mata, sebaliknya ia perlu meluaskan kegiatan untuk menjamin masa depan termasuk kepentingan peneroka," katanya.
Beliau juga mengulangi jaminan peneroka tidak akan kehilangan tanah atau insentif yang diterima mereka selama ini ekoran penyenaraian itu seperti yang didakwa pihak tertentu.
- Bernama

