BERITA

MB nafi perkenan sultan perlu bagi lucutkan Hasan

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jan 2012, 11:26 malam

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan bahawa perkenan terlebih dahulu daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menentukan jawatan exco kerajaan negeri Datuk Hasan Ali yang telah dipecat oleh PAS.

khalid ibrahim pc 171111 Ditemui wartawan hari ini selepas menghadiri kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid berkata beliau akan menghadap dengan sultan pada mesyuaratnya dengan baginda pada Jumaat ini dan kedudukan Hasan akan dibincangkan.

Ditanya sama ada persetujuan baginda diperlukan untuk menyingkirkan Hasan, Khalid menafikan perkara itu dan berkata jawatan ini akan diputusan oleh PAS yang mempunyai kuasa menentukan siapa yang mahu dilantik mereka.

Katanya, sebagai seorang ‘gengtleman’ atau bersifat budiman, veteran PAS harus meletakkan jawatan kerana telah hilang keyakinan dan sokongan daripada partinya sendiri.

“Saya berpendapat beliau sebagai seorang ‘gengtleman’ perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat,” katanya.

"Hasan Ali sebagai exco yang mewakili PAS perlu membuat keputusan sendiri sama ada atau tidak dia mempunyai sokongan dan kepercayaan dari PAS.”

Hasan ali pc Hasan dilantik sebagai exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam selama ini menikmati sokongan daripada sultan berhubung perjuangannya dalam dakwaan umat Islam di negara ini cuba dimutadkan oleh kumpulan Kristian.

Pemecatan dan penyingkiran Hasan dari barisan exco kerajaan negeri mungkin mengheret kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah dengan sultan Selangor.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Abdul Khalid berkata Pejabat Penasihat Undang-undang negeri berpandangan bahawa meskipun perkenan Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan exco, namun perkenan baginda tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran exco.

Calon baru

Katanya, pada mesyuarat Jumaat ini, beliau akan mengadap Sultan Selangor untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang mengenai calon-calon penganti yang sesuai.

Mengulas perkara yang sama, pakar perlembagaan negara, Dr Abdul Aziz Bari ( bawah, kanan ) berkata, perlembagaan menyebelahi Abdul Khalid dalam menentukan barisan exconya.

"Walaupun Hasan Ali adalah exco untuk agama, namun beliau adalah seorang ahli exco yang tertakluk di bawah kuasa MB, bukan sultan," katanya dalam e-mel kepada Malaysiakini hari ini.

NONE Katanya, Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan perlantikan exco adalah di bawah bidang kuasa menteri besar atau ketua menteri masing-masing.

"Perlembagaan adalah jelas bahawa dalam pelantikan dan pemecatan ahli-ahli kabinet - dalam kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri - istana mesti patuhi nasihat (mereka) ," katanya.

Katanya, dalam kerajaan campuran seperti Pakatan Rakyat, keputusan jawatan exco yang diperuntukkan ditentukan oleh parti masing-masing.

"Jadi, Hasan Ali boleh dipecat oleh MB Khalid berikutan keputusan PAS untuk menyingkirkan keahliannya.”

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.