Pemuda PAS janji akan terus sokong Mohd Ezam Nor
Dewan Pemuda PAS (DPP) berpandangan adalah lebih bagi 12 pemimpin Keadilan terbabit menyertai Umno daripada terus berada dalam parti dan menjadi duri dalam daging kepada Barisan Alternatif (BA).
Dewan Pemuda PAS (DPP) berpandangan adalah lebih bagi 12 pemimpin Keadilan terbabit menyertai Umno daripada terus berada dalam parti dan menjadi duri dalam daging kepada Barisan Alternatif (BA).
"DPP tetap yakin bahawa BA berupaya melakukan kejutan dalam pilihanraya kali ini walaupun Barisan Nasional (BN) terus bertindak memancing pemimpin-pemimpin pembangkang," kata ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Bagi DPP, tegasnya, tindakan 12 pemimpin Keadilan menyertai Umno kelmarin tidak akan menjejaskan perjuangan parti Keadilan, khususnya dan BA amnya.
"DPP tidak menolak kemungkinan 12 bekas ahli Keadilan tersebut mendapat habuan tertentu apabila mereka bersetuju untuk kembali menyertai Umno memandang pilihanraya umum akan berlangsung pada bila-bila masa sekarang," katanya dalam kenyataan.
Katanya, walaupun BN mungkin menjanjikan apa sahaja untuk pemimpin pembangkang supaya meninggalkan parti bagi memberi manfaat politik, tetapi DPP pusat tidak nampak tindakan tersebut menjejaskan Keadilan kerana kesemua pemimpin terbabit tidak lagi aktif sebelum menyertai Umno.
"DPP sehingga ini masih mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan parti Keadilan dalam melakukan reformasi politik di negara ini, termasuk memberi keadilan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"DPP juga percaya bahawa parti Keadilan akan terus bergerak dan memberi sumbangan dalam mengukuhkan pakatan BA dalam menghadapi pilihanraya ini," tambahnya.
Agenda perjuangan
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan ahli-ahli parti Keadilan untuk meninggalkan parti itu, tidak akan menjejaskan persiapan dan jentera BA pada masa ini.
"DPP menaruh keyakinan yang tinggi kepada Angkatan Pemuda Keadilan, khususnya ketua pemudanya, Mohd Ezam Mohd Noor dalam meneruskan agenda perjuangan mereka untuk meruntuhkan kezaliman di negara ini," tambahnya.
Oleh itu, katanya, Pemuda PAS bukan sahaja akan terus menyokong Angkatan Pemuda Keadilan, tetapi juga akan memberi bantuan yang sewajarnya bagi terus mengukuhkan gerakan Pemuda BA.
"Walaupun beberapa pemimpin Pemuda Keadilan telah menyertai Umno, tetapi agenda Pemuda BA yang telah dirancang akan terus bergerak untuk menggempur BN.
Semalam, Ruslan Kassim mengetuai sekumpulan 12 pemimpin kanan Parti Keadilan Nasional menyertai Umno secara rasmi dan sekaligus mengumumkan langkah keluar daripada parti itu.
Terdahulu, Ruslan bersama-sama 11 pemimpin berkenaan menyerahkan surat perletakan jawatan masing-masing kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tengah harinya.
Mereka ialah Naib Ketua Pemuda Keadilan Malaysia, Mohd. Zahid Mad Arip; Timbalan Pengerusi Pilihan Raya Keadilan, Hamdan Taha; Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang, Dr. Abdul Wahid Ahmad Suhaimie dan Timbalan Ketua Keadilan Pasir Salak yang juga Ketua Pengarang Suara Keadilan, Mohd. Hanafiah Man.
Turut bersama-sama ialah Exco Pemuda Keadilan, Faghrol Azman Abu Bakar dan Shamsul Bahari Shamsuddin; Naib Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Rosli Mohd. Johar; Ketua Keadilan Bahagian Kuala Nerus, Zainuddin Awang; pemimpin Keadilan Sarawak, Datuk Bujang Ulis; Pemangku Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Rusli Mohd. Shariff dan Exco Pemuda Keadilan Pahang, Jeffry Nizam.
Kecuali Bujang Ulis, kesemua pemimpin berkenaan adalah juga bekas pemimpin atau ahli Pemuda Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.