Kasitah jumpa PM Isnin ini mengenai kedudukan dalam Kabinet
Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dijangka berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin ini untuk berbincang mengenai kedudukannya sebagai ahli jemaah menteri.
Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dijangka berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin ini untuk berbincang mengenai kedudukannya sebagai ahli jemaah menteri.
Menurut sumber-sumber di Kota Kinabalu, persoalan berhubung kedudukan Kasitah timbul ekoran tuduhan
rasuah
yang dikenakan terhadapnya.
Bernama melaporkan, Kasitah yang juga ketua Umno Bahagian Kinabalu, tiba di sana dari Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
Beliau disambut oleh beberapa ahli jawatankuasa bahagian itu setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Mereka kemudian berkumpul di rumah Kasitah.
Kasitah yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam terhadap tuduhan rasuah dan menipu ahli-ahli Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) ketika menjadi pengerusi eksekutif lembaga itu pada 1996.
Beliau tidak mengaku salah dan mahkamah membenarkannya dibebaskan dengan ikatjamin sebanyak RM1 juta.
Semalam, Abdullah dilaporkan berkata bahawa beliau akan membuat keputusan sama ada Kasitah akan kembali bertugas sebagai ahli jemaah menteri.
Kes rasuah
Sementara itu, timbalan ketua Umno bahagian Kinabalu, Datuk Masidi Manjun berkata mereka berkumpul untuk "menyatakan simpati".
"Kami juga menyatakan kepada beliau tentang pendirian kami bahawa beliau tidak bersalah selagi belum disabitkan," kata Masidi ketika dihubungi.
Ditanya mengenai reaksi Kasitah, Masidi berkata, Kasitah memberi jaminan kepada ahli parti bahawa beliau akan terus berkhidmat untuk parti dan Barisan Nasional.
Kasitah berlepas ke Ranau pagi Jumaat. Beliau merupakan orang kenamaan kedua ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) selepas bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Selasa lalu atas tuduhan melaku pecah amanah melibatkan lebih RM76 juta.

