Najib dijadual hadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijadual menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di Georgetown, Isnin depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata Najib dijangka berucap pada majlis itu yang akan diadakan di Tanjong City Marina.
"Majlis yang bertemakan 'Najib Untuk Kesederhanaan' itu dianjurkan bersama oleh parti komponen BN dan dijangka dihadiri kira-kira 20,000 orang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Georgetown hari ini.
Beliau berkata, tema kesederhanaan dipilih berikutan sokongan Najib terhadap 'Kesederhanaan Sebagai Langkah Ke arah Keamanan Dunia' pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lalu.
"Di samping meraikan Tahun Baru Cina pada majlis Rumah Terbuka BN, orang ramai yang menghadiri sambutan itu juga boleh menunjukkan sokongan mereka terhadap kesederhanaan bagi keamanan global," katanya.
Dr Teng turut mengundang semua penduduk di negeri ini ke majlis Rumah Terbuka itu untuk sama-sama memeriahkan sambutan.
"Kami akan menjemput semua penduduk Pulau Pinang daripada pelbagai kaum dan latar belakang politik ke rumah terbuka itu," katanya.
Antara kemuncak majlis itu yang akan bermula pada 4 petang dan berakhir pada 7 malam ialah pertunjukan kebudayaan tradisional, persembahan orkestra dan pemberian angpau kepada kanak-kanak.
- Bernama

