Abdullah mahu dengar penjelasan Kasitah terlebih dahulu
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu berjumpa dengan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam terlebih dahulu dan mendengar penjelasan menteri itu sebelum membuat keputusan mengenai kedudukannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu berjumpa dengan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam terlebih dahulu dan mendengar penjelasan menteri itu sebelum membuat keputusan mengenai kedudukannya.
"Biar saya jumpa dulu, nanti saya cakap. Saya akan dengar apa dia nak cakap," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai cadangan Kasitah menemui beliau dan kemungkinan Kasitah meletakkan jawatan dari Kabinet ekoran
pendakwaannya
di mahkamah.
Kasitah memberitahu pemberita di Ranau semalam bahawa beliau akan berjumpa Perdana Menteri hari ini atau esok sebelum Abdullah berlepas ke Iran untuk menghadiri sidang kemuncak D-8.
Bernama melaporkan bahawa Abdullah bagaimanapun tidak berkesempatan menemui Kasitah kerana mengadakan lawatan sehari ke Perak hari ini, dan beliau akan menetapkannya pada masa yang lain.
Kasitah telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis lalu atas tuduhan rasuah dan menipu membabitkan penjualan saham Sapi Plantation Sdn Bhd, semasa beliau menjadi pengerusi eksekutif Lembaga Kemajuan Tanah Sabah. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.
Dua hari sebelum itu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Berhad, Tan Sri Eric Chia telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi tuduhan pecah amanah membabitkan RM76.4 juta.
Tidak serius
Sementara itu, ketika berucap di majlis makan tengah hari bersama Exco Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Ketua-ketua Jabatan Negeri Perak, Abdullah menjelaskan kes rasuah di negara ini bukan ditahap serius walaupun beliau sering mengeluarkan kenyataan mengenai langkah membanteras gejala itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau memandang serius gejala itu kerana rasuah boleh membawa kemusnahan jika tidak dibendung dari awal.
"Masalah rasuah di Malaysia tidaklah teruk sangat kerana kita masih mampu untuk terus maju. Walaupun begitu, jika ada sedikit-sedikit masalah itu, kita kena hapuskan sebab ia boleh membiak.
"Ianya ibarat kudis kecil. Dengan hanya bermula dengan kudis kecil ia boleh menyebabkan kaki dan tangan dipotong jika tidak dibendung dari awal. Itulah matlamat yang mesti kita capai," katanya.
Kepada penjawat, Perdana Menteri meminta mereka supaya sentiasa mengutamakan akauntabiliti kerana rakyat telah memberi amanah kepada kerajaan sekarang untuk memerintah.
Sementara itu ketika ditanya pemberita mengenai tarikh pilihanraya umum akan datang, Abdullah berkata, beliau belum menetapkan bila Parlimen akan dibubarkan.
Tarikh pilihanraya
"Dah tetapkan tarikh, kamu akan dengarlah. Tentu heboh sekali," katanya ketika ditanya mengenai khabar angin yang tersebar luas kononnya parlimen akan dibubarkan hujung bulan ini.
"Khabar angin itu khabar anginlah," katanya.
Ditanya sama ada akan diwujudkan panel khas untuk membantu beliau meneliti bakal calon pilihanraya parti-parti komponen Barisan Nasional, Abdullah berkata BN dan Umno sudah mempunyai prosedur untuk meneliti keupayaan seseorang calon.
Mengenai Program Khidmat Negara yang bermula Isnin, Abdullah berkata, beliau berharap permulaannya berjalan lancar dan menjadi program terbaik untuk anak-anak muda.
Katanya, beberapa masalah yang timbul perlu diselesaikan oleh pegawai-pegawai terbabit dengan segera.
"Saya harap tindakan segera diambil dan masalah ini diselesaikan agar tiada mana-mana pihak yang membuat penilaian tidak baik," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.