Dua penyokong parti politik bergaduh bakar bendera
Dua kumpulan penyokong parti politik bertindak ganas apabila membakar dan merosakkan bendera parti di Kampung Kolam, Kuala Ibai di Kuala Terengganu awal pagi Ahad lalu, kata Ketua Polis Negeri Datuk Md Lazim Ahmad.
Dua kumpulan penyokong parti politik bertindak ganas apabila membakar dan merosakkan bendera parti di Kampung Kolam, Kuala Ibai di Kuala Terengganu awal pagi Ahad lalu, kata Ketua Polis Negeri Datuk Md Lazim Ahmad.
Katanya, perbalahan antara kedua-dua kumpulan itu timbul ekoran salah faham kerana kumpulan pertama menuduh kumpulan kedua merosakkan bendera dan sebaliknya.
Mengikut
Bernama
, polis telah menahan seorang lelaki daripada satu kumpulan tersebut dan kini mencari seorang lagi daripada kumpulan lain yang dipercayai mencetuskan pergaduhan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kontinjen polis Terengganu di Kuala Terengganu hari ini, beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mempunyai pertalian keluarga.
Menurut Md Lazim, kes tersebut adalah yang pertama seumpamanya berlaku di daerah ini dalam suasana menjelang pilihanraya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
"Kita memandang serius kes bakar bendera kerana ia membabitkan api...kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan harta benda," katanya.
Berikutan itu, beliau menasihatkan para penyokong parti politik supaya jangan bertindak di luar batasan dengan merosakkan harta benda.
Sokongan padu
Polis, kata beliau, akan meningkatkan pemantauan terhadap pemasangan bendera, terutama menjelang pilihanraya akan datang.
Sementara itu, Pemuda Umno Terengganu berpuas hati dengan sambutan menggalakkan rakyat terhadap simulasi pilihanraya yang diadakan di seluruh negeri dua hari lalu.
Ketuanya, Din Adam berkata lebih 15,000 "keluar mengundi" dalam simulasi pilihanraya yang membabitkan 96 peti undi itu, yang turut mendapat kerjasama Puteri Umno.
Berdasarkan keputusannya, kata beliau, ia memperlihatkan sokongan padu rakyat kepada Barisan Nasional (BN) kerana jumlah mereka yang mengundi PAS amat kecil."Walaupun simulasi ini bukannya asas atau kayu pengukur kepada kekuatan sebenar BN, namun mood pengundi itu sangat menarik untuk dianalisis di mana kita yakin rakyat sudah mahu kembali kepada BN.
"Seluruh jentera Pemuda dan Puteri telah digerakkan dengan begitu berkesan dengan semua yang diberikan tugas telah berjaya melaksanakannya dengan baik," katanya.
Menurut Din lagi, pihaknya akan membuat post mortem mengenai hasil simulasi tersebut bagi mengatasi segera sebarang kelemahan yang timbul.
Pemuda Umno juga, katanya akan meningkatkan program ceramah dan penerangan bagi menangkis hujah PAS yang kini dilihat mula memainkan isu-isu peribadi.

