Nazri Aziz nafi letak jawatan
Selepas Datuk Seri Rafidah Aziz, kini giliran Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet.
Selepas Datuk Seri Rafidah Aziz, kini giliran Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet.
Bernama
memetik Nazri sebagai berkata, beliau masih menjadi seorang menteri dan wakil rakyat kerana tidak ada sebab baginya untuk meletakkan jawatan seperti khabar angin yang sedang bertiup kencang.
"Pantang mati sebelum ajal," kata Nazri di perhimpunan anjuran Persatuan Teksi Selangor di Kompleks Craft di Kuala Lumpur hari ini.
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Nazri berkata beliau perlu membuat kenyataan mengenai perkara itu selepas tersebarnya khabar angin bahawa beliau telah meletakkan jawatannya dalam kabinet.
Khabar angin itu tercetus ekoran tindakan tegas kerajaan terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah berikutan penangkapan dua tokoh terkenal minggu lalu - bekas pengarah urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia Eng Hock dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam berhubung tuduhan rasuah dan penyelewengan.
Tahun lalu, BPR menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemberian 6,000 permit teksi kepada seorang individu yang mendapat kelulusan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan yang terletak di bawah bidang kuasa kementerian yang diterajui oleh Nazri.
Fitnah
Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudiannya berkata dakwaan itu tidak benar dan apa yang berlaku hanyalah amalan yang tidak mengikut peraturan dalam pengeluaran permit berkenaan.
Semalam, ketika mengulas spekulasi yang mengaitkan beliau antara 18 kenamaan yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Nazri berkata, beliau tidak gentar dengan tuduhan pembangkang kononnya beliau adalah antara menteri yang bakal dihadapkan ke mahkamah.
"Saya tidak peduli apa yang pembangkang cakap . Mereka (pembangkang) memang suka bercakap. Kalau kerajaan tak ambil tindakan (terhadap menteri), mereka akan kata. Bila ambil tindakan mereka akan jadikan isu juga. Jika mereka anggap ia satu gimik, merekalah yang suka buat gimik dan akan kekal membuat gimik.
"Saya tidak kisah apa mereka nak kata. Bagi saya, saya akan teruskan kerja kerana banyak perkara yang perlu diberi perhatian," katanya ketika sidang media Hari Kebangsaan Kraf 2004 di Kuala Lumpur semalam.
Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz memberi
amaran
akan menyaman mana-mana pemimpin pembangkang yang melemparkan fitnah terhadapnya berhubung isu yang sama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.