Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib turun padang ke Wilayah Persekutuan KL
Diterbitkan:  Jan 20, 2012 10:17 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan memulakan kunjungan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju.

    

Tinjauan pertamanya Perdana Menteri ialah ke Pasar Basah Teratai, Wangsa Maju.

    

Ketibaan beliau pada jam 9.20 pagi disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan  timbalan menteri Datuk M. Saravanan.

    

Walaupun hujan renyai, pengunjung pasar itu terutama kaum Cina yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina Isnin ini, turut berbaris menyambut ketibaan Perdana Menteri, serta mengambil peluang untuk bersalaman dengan beliau.

Antara atur cara lain Najib ialah melawat Kampung Puah Lembah di Jalan Gombak yang merupakan sebuah perkampungan tradisi yang masih mengekalkan cara hidup, budaya dan adat masyarakat Melayu, di tengah-tengah arus pembangunan kota raya.

    

NONE Perdana Menteri juga dijadual melawat Sekolah Menengah (C) Chung Hwa, berdekatan dengan kampung itu, sebelum ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak untuk bersama penduduk di situ bersolat Jumaat di Masjid Az-Zubair.

    

Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat di Padang Bola Sepak Sri Johor, Bandar Tun Razak, sebelum meneruskan program lawatannya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci di Lembah Pantai pada petang.

    

Pada Oktober 2009, Najib yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri, telah melawat PPR Kerinci dan mengumumkan hadiah istimewa bagi membantu golongan berpendapatan rendah, terutama penyewa PPR untuk memiliki rumah sendiri di bawah konsep "Satu Keluarga Satu Rumah."

    

Menerusi program itu penduduk PPR boleh membeli PPR kendalian Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada harga antara RM21,500 dan RM35,000 seunit.

    

Program yang melibatkan keseluruhan 44,146 unit rumah iaitu 29,562 unit PPR MTEN di 20 kawasan dan 14,584 unit PA DBKL di 17 kawasan, dijual pada harga yang mampu dimiliki oleh penghuni PPR, dan harga tersebut jauh lebih rendah daripada harga pasaran, iaitu antara RM80,000 dan RM85,000 seunit.

- Bernama

ADS