Kerajaan Kedah tidak perlu menunggu keputusan mahkamah dalam menentukan nasib Madrasah Salihiah yang dijadual dirobohkan bagi membina Kompleks Aman Central, kata Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan Kedah boleh terus mengemukakan pelan baru yang mengecualikan tapak madrasah itu daripada terlibat dalam pembinaan kompleks tersebut.  

    

Keputusan itu adalah lebih baik selain menjimatkan peruntukan membina surau baru yang dianggar bernilai lebih RM4 juta, katanya kepada pemberita selepas Program 4B Prihatin, Gerakan Belia 4B Alor Setar di pekarangan madrasah itu, di Alor Star hari ini.

    

Jawatankuasa Madrasah Salihiah Kanchut yang memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 5 Januari lepas, sebagai usaha terakhir menyelamatkan surau tersebut.

    

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan Industri, berkata isu itu boleh diselesaikan tanpa perlu ke mahkamah jika pihak terbabit dapat memutuskan situasi menang-menang untuk semua.

    

"Setakat ini belum tahu keputusan mahkamah terhadap perintah injunksi yang difailkan, tapi doakan beri keputusan terbaik untuk jaga kebajikan dan kepentingan umat Islam," kata Mukhriz.

    

Beliau juga meluahkan rasa hairan akan sikap kerajaan negeri yang begitu brsungguh-sungguh mahu memberikan tapak surau berstatus wakaf itu kepada pemaju.

    

"Mesti ada tekanan daripada kerajaan negeri, saya langsung tidak salahkan Majlis Agama Islam Negeri Kedah atau Majlis Fatwa Kedah yang pada awalnya membuat keputusan surau ini tidak boleh dirobohkan.

"Mesti ada tekanan yang membuatkan mereka meminda keputusan itu... Saya langsung tidak menghalang pembangunan kerana ia diperlukan untuk menjana ekonomi dan peluang-peluang pekerjaan, kita alu-alukan pembangunan," katanya.

    

- Bernama