Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam akan bercuti daripada jawatannya sebagai Ketua Penaja Umno Ranau.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kasitah akan bercuti sepanjang proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Kasitah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis lalu atas tuduhan rasuah membabitkan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantation Sdn Bhd yang dipegang oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) kepada Brismark Enterprise Sdn Bhd ketika menjadi pengerusi eksekutif lembaga itu pada tahun 1996.

Kasitah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Kelmarin Kasitah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletakkan jawatan bagi memberi tumpuan kepada perbicaraan kes berkenaan.

Bernama

melaporkan, Najib yang juga menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno berkata, beliau telah menghubungi Kasitah pagi tadi berhubung perkara tersebut.

"Tan Sri Kasitah telah bersetuju secara sukarela untuk mengambil cuti daripada jawatan beliau sebagai ketua Umno bahagian (Ranau)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pegawai-pegawai penerangan di Shah Alam hari ini.

Bukti kukuh

Berikutan itu, kata Najib, jawatan tersebut akan dipangku oleh timbalan ketua bahagiannya, Datuk Masidi Manjun.

Sebelum itu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Will and Development Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan wang RM76.4 juta pada tahun 1994.

Selepas penahanan Kasitah yang ketika itu Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Khamis lalu, telah menimbulkan khabar angin bahawa tiga lagi menteri akan ditangkap atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa 18 lagi kes rasuah yang membabitkan individu berprofil tinggi termasuk menteri, kini memasuki peringkat akhir siasatan.

Selain skandal Perwaja, kes-kes panas lain yang turut menjadi tumpuan umum sejak awal 1990-an, ialah penyelewengan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan skandal kewangan Penerbangan Malaysia (MAS).

Berikutan itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet.

Tahun lalu, BPR menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemberian 6,000 permit teksi kepada seorang individu yang mendapat kelulusan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan yang terletak di bawah bidang kuasa kementerian yang diterajui oleh Nazri.

Spekulasi

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudiannya berkata dakwaan itu tidak benar dan apa yang berlaku hanyalah amalan yang tidak mengikut peraturan dalam pengeluaran permit berkenaan.

Manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pula memberi amaran akan menyaman mana-mana pemimpin pembangkang yang melemparkan fitnah terhadapnya berhubung isu yang sama.

Bagaimanapun, semalam, Rais menegaskan bahawa khabar angin tersebut adalah spekulasi semata-mata dan tidak akan menjejaskan kekuatan Kabinet.

Katanya, desas-desus mengenai penangkapan ahli Kabinet lain adalah khabar angin yang tidak akan dijadikan asas untuk tindakan oleh pihak berkuasa, tetapi ianya akan berdasarkan bukti yang kukuh.

Oleh itu, beliau meminta spekulasi mengenai siapa lagi yang akan ditangkap selepas ini dihentikan kerana tidak ada kenyataan rasmi yang menyatakan bahawa ada anggota Kabinet lain yang terlibat selain Kasitah.

Di samping itu, kata Rais, selain 18 kes rasuah yang didedahkannya pada tahun 2002, tidak ada siasatan lain yang dibuat terhadap mana-mana individu berprofil tinggi.