Tidak ada sebab untuk layan Lokman - Ezam
Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamed Ezam Mohamed Nor tidak akan melayan tindakan bekas setiausaha pergerakan itu, Lokman Noor Adam, yang mencabar beliau bersumpah di masjid untuk menafikan dakwaan penyelewengan wang parti.
Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamed Ezam Mohamed Nor tidak akan melayan tindakan bekas setiausaha pergerakan itu, Lokman Noor Adam, yang mencabar beliau bersumpah di masjid untuk menafikan dakwaan penyelewengan wang parti.
Sebaliknya, beliau menyifatkan tindakan Lokman itu sebagai gimik politik dan provokasi untuk merosakkan imej parti bagi mewujudkan suasana keliru di kalangan ahli.
"Sebab kedua, beliau (Lokman) telah dipecat sebagai ahli parti, jadi saya tidak ada sebab untuk melayan beliau," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Keadilan Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Lokman juga turut mencabar naib presiden Keadilan Azmin Ali dan ketua penerangan, Khalid Jaafar, supaya bersumpah di Masjid Negara Sabtu ini bagi menafikan dakwaan kononnya mereka menyelewengkan wang sumbangan orang ramai kepada parti itu.
Bernama
memetik Ezam sebagai berkata beliau hanya sanggup memenuhi cabaran Lokman itu, jika Lokman dapat mengemukakan bukti yang jelas bagi menyokong dakwaan berkenaan.
Pendedahan kedua
Semalam, Lokman turut bersumpah dengan menjunjung al-Quran bahawa tiga dana berjumlah RM4.3 juta sumbangan kepada parti itu pada tahun 1999 dan 2000, tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun Pemuda Keadilan ataupun Parti Keadilan Nasional.
Beliau bersumpah demikian di perkarangan masjid yang pernah menyaksikan bahang reformasi pada tahun 1997 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno dan kerajaan.
Rabu lalu, Majlis Kepimpinan Keadilan telah memecat Lokman yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama Ezam, antara lain kerana membuat tuduhan tanpa bukti mengenai penyelewengan dana parti.
Lokman dilaporkan berkata, beliau akan menunggu Ezam, Azmin dan Khalid untuk tampil di perkarangan Masjid Negara pada jam 11 pagi esok untuk melafazkan sumpah dengan menjunjung al-Quran bagi menafikan semua dakwannya.
Katanya, jika ketiga-tiga pemimpin Keadilan itu gagal menyambut cabarannya, beliau akan membuat pendedahan kedua.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.