AirAsia berkata ia telah mengambil langkah-langkah pembetulan tentang pengumuman tambang berikutan saman yang dikemukakan terhadapnya oleh sebuah badan kawal selia Australia.

    

Pada 17 Januari, AirAsia telah disaman oleh Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) yang mendakwa syarikat penerbangan itu gagal menyatakan jumlah penuh bayaran dan cukai yang terangkum dalam tambangnya dari Australia dalam iklannya.  

    

"Sebaik sahaja kami sedar tentang perkara itu, kami mengambil tindakan pembetulan dan memberikan tumpuan untuk memastikan pelanggan kami mendapat semua maklumat berkaitan tambang kami," kata AirAsia dalam satu kenyataan.

    

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata ia tidak sedar tentang masalah itu hinggalah ACCC membawa perkara itu ke mahkamah.

    

"Kami berhasrat menyelesaikan perkara ini secara membina dengan ACCC, serta mengatasi sebarang masalah yang mereka hadapi dan juga masalah yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggan kami," kata AirAsia.

- Bernama