Zam dilantik penasihat media Kementerian Penerangan
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara tamat hari ini, telah dilantik sebagai penasihat media Kementerian Penerangan.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara tamat hari ini, telah dilantik sebagai penasihat media Kementerian Penerangan.
Perlantikan Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam, yang berkuatkuasa mulai esok, diumumkan oleh Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.
Perkhidmatan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu sebagai Ahli Dewan Negara tidak boleh disambung kerana Perkara 45 (3A) Perlembagaan Persekutuan menghadkan tempoh seorang Ahli Dewan Negara selama dua penggal sahaja. Ini juga bermakna Zam terpaksa melepaskan jawatannya sebagai seorang timbalan menteri.
Zainuddin dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 25 Februari 1998 sehingga 24 Februari 2001 dan pelantikan keduanya bermula dari 25 Februari 2001 dan akan tamat pada 24 Februari ini.
Ekoran pelantikan sebagai senator itu, beliau telah diberi tanggungjawab sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada 17 Januari 2001. Pada 21 November 2002, Zam dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Penerangan.
Politik ekstremisme
Sepanjang bertugas di kementerian itu, Zam telah mengambil dayausaha untuk menyiarkan program-program khusus dalam menangkis apa yang didakwanya sebagai politik ekstremisme dan cauvinisme yang dibawa oleh pembangkang.
Tahun lalu, beliau dilantik sebagai ketua penerangan Umno bahagian Merbok.
Selain itu, Zam juga menulis beberapa buah buku, antaranya, Yang Pertama dan Terakhir , Mahathir Di Sebalik Tabir dan Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot .
Bukunya terbaru ialah PahlawanYang Tidak Didendang mengisahkan usaha kerajaan terutama pasukan Polis Diraja Malaysia untuk mencari jalan damai dengan Parti Komunis Malaya.
Zam juga pernah dipilih sebagai " Newsmaker of the Year " oleh malaysiakini bagi tahun 2002.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.