Kenyataan saya hanya mainan politik: Nik Aziz
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya "bermain politik" apabila menyatakan PAS Kelantan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya "bermain politik" apabila menyatakan PAS Kelantan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
Bernama
"Bila kita pancing ikan, bila ikan tarik tali tegang sangat, kita biarlah kendur sikit. Lepas itu kita tarik balik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Negeri di sini.
Ahad lalu, Nik Aziz berkata PAS mungkin kehilangan beberapa kerusi DUN yang dikuasainya sekarang kerana terdapat rakyat Kelantan yang tertarik dengan kempen BN dan Umno yang menjanjikan pelbagai bentuk pembangunan sekiranya BN menang pilihanraya akan datang.
Menurutnya, dakwaan Umno bahawa ramai penyokong parti itu telah menyertai Umno melalui program "Selamat Tinggal PAS" di seluruh negeri itu, juga tidak menjejaskan parti itu.
Sebaliknya, kata beliau, ramai penyokong Umno termasuk daripada kalangan bekas ketua cawangan Umno yang telah menyertai dan menyokong PAS sejak akhir-akhir ini.
Tidak wajar
"Sekarang ini hari-hari saya membuka cawangan baru (bekas penyokong) Umno masuk PAS....mereka masuk PAS waktu siang hari, tak malu-malu, tak takut-takut," katanya.
Pada pilihan raya umum 1999, BN memenangi dua daripada 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Galas dan Paloh manakala satu daripada 14 kerusi Parlimen iaitu di Gua Musang.
Berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya, Kelantan mendapat tambahan dua lagi kerusi DUN iaitu Bukit Bunga dan Nenggiri manakala jumlah kerusi Parlimen kekal.
Mengenai kunjungan pertama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kelantan dua hari lalu, Nik Aziz berkata beliau tidak dijemput meraikan Abdullah semasa berada di negeri itu.
Selain itu, beliau juga menyifatkan kenyataan Abdullah yang berkempen meminta rakyat Kelantan menyokong kerajaan pusat dengan menjanjikan pelbagai projek pembangunan sekiranya BN memerintah, juga adalah tidak wajar.
Beliau juga menyifatkan kunjungan Perdana Menteri yang disambut ribuan rakyat Kelantan sepanjang program lawatan rasmi itu sebagai "tidak ada apa-apa" kerana tidak dapat memberi faedah dalam mempertingkat sokongan rakyat Kelantan terhadap Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.