Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menolak dakwaan bahawa beliau mendapat restu pihak istana untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Bernama

memetik beliau berkata, sekiranya ada pihak yang mendakwa beliau adalah pilihan istana atau mendapat "restu" daripada istana untuk bertanding, ianya adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, kata beliau, pihak istana tidak akan campur tangan dalam soal pemilihan calon yang akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

"Sultan (Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah) seorang yang peramah dan mempunyai hubungan dengan pelbagai golongan termasuk wakil rakyat dan exco (kerajaan negeri) serta anggota politik.

"Budi baik Sultan ada masanya diambil kesempatan oleh pihak tertentu (yang mendakwa akan menjadi calon pilihan istana)...

"Tidak ada calon peribadi Menteri Besar, tidak ada calon istana, tidak ada calon mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di Kuantan malam tadi.

Tambahnya, pemilihan semua semua calon Barisan Nasional (BN) akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti. Pagi semalam, Adnan adalah antara MB dan pemimpin BN yang berjumpa dengan Perdana Menteri untuk mengenai peruntukan kerusi dan calon pilihanraya.

Mesti bersih

"Apa pendekatan yang akan digunapakai Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dalam soal pemilihan calon nanti, wallahualam...," kata Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan BN Pahang.

Sepertimana yang ditekankan Perdana Menteri sebelum ini, beliau berkata, setiap calon BN yang akan dipilih bertanding kelak mestilah seorang yang sedia berkhidmat dan bersih.

Di samping itu, katanya, mereka juga tidak semestinya memegang jawatan dalam Umno, kerana ahli biasa parti juga boleh dipilih sebagai calon.

Yang penting, tambahnya, seseorang calon itu mestilah diterima rakyat setempat dan boleh menang.

Mengenai senarai calon Umno di Pahang, Adnan berkata semua bahagian telahpun menghantar senarai cadangan nama calon untuk pilihanraya umum, kecuali Pekan, Indera Mahkota dan Bentong.