Peruntukan: Menteri nafi Semporna diutamakan
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan jumlah peruntukan yang disalurkan kementeriannya di sesuatu kawasan di Sabah tertakluk kepada keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
Sambil menafikan dakwaan kononnya beliau mengutamakan daerah tempat beliau berasal iaitu Semporna, katanya kawasan seperti Kinabatangan dan Pensiangan di pedalaman Sabah menerima peruntukan jauh lebih besar daripada Semporna berdasarkan keperluan rakyat di kedua-dua kawasan.
"Kalau ada cerita-cerita yang mengatakan (Semporna) sahaja menerima peruntukan, itu tidak betul," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Siringgit di Semporna hari ini.
Sambil membahasakan dirinya sebagai 'menteri kampung', Mohd Shafie menegaskan kementeriannya sentiasa memastikan penduduk di lebih 15,000 buah kampung di seluruh negara bermula dari negeri Perlis hingga ke Sabah diberi pembelaan sewajarnya.
Katanya usaha kementeriannya membangunkan kampung-kampung di seluruh negara bukan sekadar menumpukan pada pembangunan infrastrukktur asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya tetapi turut menekankan peningkatan pendidikan penduduk luar bandar.
Mohd Shafie berkata melalui pendekatan komprehensif seperti itu, generasi muda masyarakat luar bandar akan beroleh pendidikan lebih baik seterusnya boleh membantu keluarga mereka keluar daripada garis kemiskinan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berharap masyarakat luar bandar bersabar kerana kerja melaksana dan menyiapkan projek mungkin memakan sedikit masa kerana pelbagai kekangan seperti faktor geografi yang menyukarkan kerja-kerja membawa peralatan binaan ke kawasan mereka.
"Kita di peringkat kerajaan tidak berputus asa. Kita akan gunakan pelbagai kaedah untuk melaksanakan projek ini.
"Di Sarawak, di tempat-tempat yang terpencil, kita gunakan Strategi Lautan Biru. Angkatan Tentera Malaysia membantu dengan menggunakan alat pengangkutan mereka untuk membina rumah di bawah Program Bantuan Rumah," katanya.
- Bernama

