Tempoh berkempen tidak perlu dipanjangkan kerana kebanyakan parti pembangkang adalah parti setempat dan mereka mempunyai masa yang cukup untuk berkempen, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Abdul Rahman.

Ketika diminta mengulas permohonan beberapa parti pembangkang supaya tempoh itu dilanjutkan, beliau berkata: "Tak ada satu parti pembangkang yang bertaraf nasional...kecuali parti yang memerintah."

Pada pilihan raya umum lalu, tempoh berkempen adalah sembilan hari dengan hari penamaan calon diadakan pada 20 Nov 1999 dan pengundian pada 29 Nov 1999.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata, tempoh kempen yang lebih lama adalah tidak perlu, kecualilah parti yang meminta tempoh yang panjang itu tertumpu di seluruh negara," katanya.

Bercakap di sidang media selepas menyampaikan taklimat di perhimpunan bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri di Kuala Lumpur hari ini, Abdul Rashid berkata: "Mereka telah berbincang dengan saya, saya tahu berapa lama mereka mahu."

"Ada parti yang tidak mempunyai sumber, tenaga manusia atau kewangan dan dengan tempoh berkempen yang panjang, mereka tidak mampu menjalankan aktiviti (berkempen). Sudah tentu mereka tidak boleh meliputi banyak kawasan, seperti yang kita maklum di negara ini, parti pembangkang kebanyakannya adalah parti setempat."

Keselamatan

Jika diberi tempoh berkempen yang lama, katanya, ia hanya mengundang masalah dan semasa pilihanraya, pelbagai bentuk masalah akan timbul.

"Tetapi, kami biasanya berlaku adil kepada mereka ini...kami mahu memberikan peluang untuk mereka berkempen tetapi kami akan menimbang semua permintaan dan tidak hanya permintaan mereka (pembangkang) sahaja," katanya.

Selain parti bertaraf nasional, kata Abdul Rashid, faktor lain yang diambilkira untuk memanjang tempoh berkempen ialah logistik keselamatan di mana sumber polis digunakan pada tahap maksimum walaupun dengan tempoh berkempen yang singkat.

Katanya, mengikut polis, mereka mahu sebuah pilihan raya yang "singkat dan berjaya".

"Kita tidaklah boleh minta mereka jaga kita, satu bulan, dua bulan, tiga bulan, tak boleh...mereka juga mempunyai had mereka dan kita bersimpati dengan mereka juga," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata, rekod cemerlang Malaysia dalam melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil membuatkan ia tidak memerlukan pemerhati dari luar negara.

Pemerhati

Beliau berkata "rakan kita dari luar negara dialu-alukan untuk datang dan lihat" perjalanan pilihanraya akan datang.

"Kita tidak akan menjemput mereka, tapi jika mereka datang, kita akan uruskan mereka," katanya ketika menjawab soalan sama ada pemerhati luar akan dijemput ke sini.

"Ada tanda-tanda menunjukkan bahawa pilihanraya akan diadakan tidak lama lagi, tapi saya belum menerima sebarang notis dari kerajaan," katanya.

Beliau berkata sekiranya ada tuduhan mengenai penipuan dalam pilihanraya di sebuah negara yang berdemokrasi dan bebas, pemerhati akan dihantar di bawah naungan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau Urusetia Komanwel.

Pilihanraya ke-11 yang akan berlansung tahun ini akan menjadi pilihanraya ke-enam bagi Abd Rashid sejak beliau berada dalam SPR.

Katanya, Malaysia tidak memerlukan pemerhati luar kerana proses pilihanraya sehingga kini adalah bebas dan adil, dan beberapa aduan pada pilihan raya tahun 1999 lepas kebanyakannya berkisar kepada "kelemahan biasa" yang bukannya kerana penipuan dalam pengundian.