Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB nafi dakwaan sekat duit zakat pada pelajar di Mesir
Diterbitkan:  Feb 8, 2012 5:54 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan kononnya Umno menyekat pemberian bantuan wang zakat kepada anak-anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke Mesir.

    

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab, Ahmad Said yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu berkata, Umno tidak pernah campurtangan dalam urusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

    

"Maidam bukan di bawah kuasa menteri besar. Saya tidak pernah sekalipun campurtangan untuk menentukan orang ini layak dan orang ini tidak layak menerima biasiswa ini kerana Maidam mempunyai jawatankuasa, fatwa dan mengikut lapan Asnaf yang layak menerimanya," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

    

Beliau sebelum itu menyaksikan penyampaian zakat perniagaan Maybank Islamic berjumlah RM600,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Muzaffar Hisham kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman.

    

Pada 26 Januari lepas, Wan Harujan menerima SMS berbunyi: "Umno Terengganu sekat duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir..........fikirkan".

    

Ahmad berkata pada 2008, Maidam telah mengeluarkan zakat berjumlah RM1.37 juta kepada 274 pelajar, 2009 sebanyak RM1.47 juta (313 pelajar), 2010 sebanyak RM1.26 juta (285 Pelajar), 2011 sebanyak RM1.69 juta (286 pelajar) dan tahun ini dijangka sebanyak RM2.11 juta kepada 286 pelajar.

    

Katanya beliau tidak pernah dimaklumkan siapa yang menerima zakat tersebut dan siapa yang tidak menerimanya kerana tidak pernah meminta senarai penerima daripada Maidam.

    

Wan Harujan juga menafikan penglibatan Umno dalam bantuan wang zakat kepada pelajar ke Mesir.

    

"Maidam dalam mesyuaratnya bebas membuat keputusan berlandaskan syariah serta peraturan yang ditetapkan dengan pertimbangan diberi berasaskan kepentingan pengagihan mengikut Asnaf yang layak," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS