Polis hari ini memberi amaran kepada pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan kejadian pergaduhan di restoran KFC I-City, Shah Alam Isnin lepas supaya tidak campurtangan.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata isu itu hanya membabitkan pelanggan dan syarikat restoran berkenaan.
"Pihak-pihak yang tidak terlibat dalam insiden itu tidak harus masuk campur atau cuba memanaskan keadaan dengan menghasut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rakan Cop Remaja anjuran Polis Pulau Pinang di Padang Kota di George Town hari ini.
Khalid berpendapat perkara itu boleh diselesaikan secara rundingan tanpa campurtangan pihak-pihak yang tidak berkenaan.
Beliau berkata NGO dan parti-parti politik tidak harus campurtangan dalam hal ini supaya isu itu dapat diselesai dengan aman.
"Sebenarnya polis juga tidak perlu campurtangan dalam hal ini kerana tiada yang cedera, melainkan ada orang yang cedera dan laporan polis dibuat," katanya.
Sementara itu, Khalid berkata hasil kerja keras anggota polis dan kerjasama masyarakat, jenayah indeks seluruh negara untuk bulan Januari tahun ini mencatat penurunan.
Beliau berkata indeks jenayah kebangsaan berjaya diturunkan sebanyak 18.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
PDRM amat berterim kasih kepada seluruh anggota masyarakat khususnya Ikatan Relawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Skim Rondaan Sukarela, Polis komuniti dan Angkatan Tentera Malaysia yang sama-sama berkerja keras membuat rondaan bagi memastikan keadaan jenayah terkawal, katanya.
- Bernama
