Seramai 113,000 anggota tentera adalah antara kira-kira 200,000 pengundi yang layak mengundi secara pos dalam pilihanraya umum kali ini.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, bakinya ialah 85,000 anggota polis dan 2,500 warga Malaysia di luar negara termasuk para diplomat dan pelajar.

Bagaimanapun, katanya, jumlah rasminya akan diumumkan serentak dengan pengumuman tarikh pilihanraya dan tarikh penamaan calon oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Menurut Wan Ahmad, daftar pemilih induk 2003 telah disahkan semalam dan diwartakan hari ini.

Sejumlah 10.3 juta pemilih layak mengundi pada pilihanraya umum kali ini berdasarkan kepada senarai pemilih sehingga 31 Disember 2003.

Berdasarkan daftar pemilih yang disahkan pada tempoh itu tahun lepas, Wan Ahmad berkata terdapat 5,075 pemilih berdaftar bagi kawasan parlimen Putrajaya yang majoritinya adalah kakitangan awam, iaitu 90 peratus ialah orang Melayu.

Sementara itu, beliau menyeru mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau hospital swasta agar dapat membantu SPR membekalkan kira-kira 5,000 lagi kerusi roda di pusat mengundi di seluruh negara.

Belum cukup

Beliau berkata, kerusi roda itu akan digunakan pada hari mengundi dan terdapat 7,300 pusat mengundi kesemuanya yang setiap satunya memerlukan dua buah kerusi roda.

"Kita memerlukan lebih kurang 15,000 kerusi roda tetapi belum cukup 35 peratus lagi," katanya.

Wan Ahmad berkata kerusi roda itu disediakan bagi memastikan warga tua yang datang ke pusat mengundi dijaga daripada segi kebajikan.

Beliau berkata, SPR juga membenarkan pekerja daripada NGO atau hospital swasta menjaga kerusi roda berkenaan atau menolak masuk kerusi roda yang digunakan pengundi.

Katanya, SPR juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan swasta untuk membekalkan kerusi roda di pusat mengundi.

Wan Ahmad juga berkata SPR akan mewujudkan konsep mesra pengundi di pusat mengundi dengan melantik pembantu bagi membantu pengundi yang memerlukan bantuan.

Katanya, terdapat 20,000 pembantu di seluruh negara dan mereka akan memakai pakaian seragam iaitu t-shirt kuning dengan logo SPR dan juga topi berwarna kuning.

Antara bantuan yang diberikan ialah membantu pemilih menyemak nama mereka dalam senarai daftar pemilih atau menolak kerusi roda jika pengundi itu uzur, katanya.