Pemberian wang RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan BN sepatutnya disyukuri semua rakyat dan tidak terpengaruh dengan tohmahan Pakatan Rakyat.

NONE Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata rakyat juga tidak sepatutnya dengan mudah termakan hasutan pembangkang kononnya pemberian bantuan tersebut adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata.

"Contoh sebuah keluarga, adalah tidak wajar dan kurang ajar bagi seorang anak itu mengatakan bahawa adalah tugas ibu dan bapa memberi kepadanya wang. Konsep ini sama juga dengan pengagihan BR1M daripada kerajaan.

"Kerajaan mampu lakukan ini kerana kerajaan BN mentadbir negara dengan baik, berkemampuan dan bijaksana. Sebab itu kerajaan boleh memberi bantuan kepada rakyat. Jika negeri yang dikuasai pembangkang pun mentadbir dengan baik, mereka pun boleh buat, tetapi malangnya mereka gagal," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas pelaksanaan BR1M, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata pemberian kepada rakyat berpendapatan kurang daripada RM3,000 tanpa mengira lapisan masyarakat dan perbezaan idealogi politik, nyata menjadi buah mulut pembangkang dan menimbulkan keresahan di kalangan mereka.

NONE Pengerusi Kelab Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Datuk Nadzri Ismail yang sependapat dengan Razali berkata pemberian BR1M adalah selaras dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Kerajaan bagi tidak kira kaum, asal layak kita bagi. Ini adalah bukti kerajaan yang adil. Walau pun pembangkang mengatakan pemberian BR1M itu adalah duit rakyat dan bukannya duit kerajaan, andainya kerajaan yang ada sekarang ini tidak cekap menguruskan negara, pembangkang fikir kita mampu nak beri?

"Sebab dengan kebijaksanaan kerajaanlah, maka kita mampu memberi bantuan BR1M yang sekurang-kurangnya mampu meringkankan bebanan rakyat," katanya.

NONE Nadzri yang juga ADUN Manjoi, Perak juga tidak menolak terdapat penyokong tegar pembangkang turut menerimanya dan sama-sama merasai nikmat bantuan itu.

"Mereka ini sepatutnya bersyukur dan berterima kasih. Bukannya memburukkan lagi kerajaan. Kerajaan BN ini kerajaan yang adil dan tidak pilih kasih, asal layak, semua orang akan dapat," katanya.

- Bernama