MIC Bahagian Sungai Siput memberi keutamaan kepada Presidennya, Datuk Seri G Palanivel untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan kerana ia adalah kerusi tradisi bagi presiden parti itu sejak 1960-an.

Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R Ganesan, berkata sekiranya Palanivel mempunyai calon tertentu bagi kerusi itu, parti tetap memberi sokongan dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon berkenaan.

NONE "Kita menjemput dan mengalu-alukan Datuk Seri (Palanivel) bertanding kerusi Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Kerusi ini adalah kerusi yang bersejarah bagi MIC, keutamaan kita adalah untuk presiden, jika beliau memilih calon lain, kita juga bersetuju dan akan bekerja untuk memastikan kemenanganya," katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, persetujuan untuk Palanivel bertanding di Sungai Siput bukan saja dicapai secara sebulat suara oleh MIC, malah turut dipersetujui oleh UMNO, MCA, GERAKAN, PPP serta disokong oleh IPF dan Makkal Sakthi.

Katanya, apa yang jelas, sekiranya Palanivel bertanding bagi kerusi itu, rakyat Perak khususnya penduduk di Sungai Siput akan menikmati pelbagai manfaat terutama dalam aspek pendidikan dan infrastuktur, ditambah pula jika Palanivel dipilih sebagai menteri kanan dalam Kabinet.

- Bernama