Ramasamy fail saman RM10j ke atas the Star, wartawan
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap seorang wartawan akhbar The Star serta syarikat penerbit akhbar tersebut.
Ramasamy memfailkan saman itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan A Sivanesan & Co dan menamakan wartawan, Ian McIntyre dan Star Publications (M) Bhd sebagai defendan.
Saman itu adalah berkaitan dua artikel bertajuk "Distress in DAP continues" yang diterbitkan pada 23 Disember tahun lalu dan "What Ramasamy said in the interview with The Star" yang diterbitkan pada 27 Disember tahun lalu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ramasamy berkata, pada 21 Disember 2011, McIntyre mengadakan satu wawancara di pejabatnya di Pulau Pinang dan artikel itu diterbitkan pada 23 Disember.
Beliau mendakwa artikel itu mengikut makna semulajadinya membawa maksud beliau adalah pemimpin DAP yang mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan jawatan serta tidak berwibawa.
- Bernama

