Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak dapat berbuat apa-apa walaupun Parti Keadilan Nasional (Keadilan) berhasrat membuat rayuan bagi membolehkan tiga pemimpin kanan parti itu bertanding pada pilihanraya umum ke-11 ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan SPR tidak mempunyai kuasa mengikut pertimbangan sendiri.

"Ini adalah berkaitan dengan perlembagaan, kita tidak ada kuasa budibicara. Kalau merayu dengan SPR pun, SPR tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan undang-undang mengenai aspek itu dimansuhkan, tetapi undang-undang ada," katanya.

Menurut Bernama , beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Keadilan yang akan membuat rayuan kepada SPR bagi membolehkan tiga pemimpin parti itu bertanding pada pilihanraya umum kali ini.

Semalam, SPR mengesahkan bahawa tiga pemimpin parti itu Mohamed Azmin Ali, Mohamed Ezam Mohd Nor dan Irene Fernandez tidak boleh bertanding dalam pilihanraya kerana masing-masing telah disabitkan kesalahan di mahkamah.

Azmin adalah naib presiden Keadilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang manakala Mohamed Ezam adalah ketua pemuda parti itu. Irene pula ialah timbalan ketua wanita Keadilan.

Bercakap dalam sidang media selepas mengumumkan tarikh pilihanraya dan penamaan calon di Putrajaya hari ini. Abdul Rashid berkata, sudah tentu SPR mahu melihat mereka mengambil bahagian dalam pilihanraya, terutamanya bertanding kerana itu adalah demokrasi yang diamalkan negara.