Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tajudin, Danaharta capai penyelesaian luar mahkamah
Diterbitkan:  Feb 14, 2012 11:11 PM
Dikemaskini: 10:42 PM

Bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd mencapai penyelesaian luar mahkamah berkaitan satu saman yang difailkan enam tahun lepas membabitkan hutang RM589 juta tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.

Peguam Lim Kian Leong yang memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, bagaimanapun tidak mendedahkan terma penyelesaian tersebut dan ia disahkan Tommy Thomas yang mewakili Danaharta.

Sehubungan itu, Lim berkata Tajudin berhasrat menarik balik semua rayuan terhadap Pengurusan Danaharta, dua anak syarikatnya serta 24 responden lain yang dinamakan dalam tuntutan balas beliau.

Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin, yang mengetuai panel itu, kemudian memutuskan untuk membatalkan semua rayuan berkaitan.

Selain itu, panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, memerintahkan Tajudin membayar sejumlah RM15,000 kepada beberapa responden sebagai kos perundangan dan RM5,000 lagi kepada kerajaan Malaysia bagi prosiding di Mahkamah Rayuan.

Pengurusan Danaharta, Danaharta Urus Sdn Bhd dan Danaharta Managers Sdn Bhd serta pegawainya bagaimanapun tidak menuntut kos perundangan.

Terdahulu, Lim memaklumkan panel itu Tajudin dan Danaharta berjaya mengatasi semua permasalahan yang dihadapi kedua pihak berhubung terma penyelesaian.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Lim untuk menangguhkan prosiding sehingga hari ini bagi membolehkan Tajudin dan Danaharta mencari penyelesaian berhubung 'masalah kecil yang muncul pada saat-saat akhir'.

Berbekalkan semangat penyelesaian luar mahkamah yang dicapai hari ini, Lim meminta semua pihak terbabit menanggung kos perundangan masing-masing bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Kecuali Danaharta, responden lain tetap mahukan Tajudin membayar kos perundangan mereka.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.        

Jumlah itu merupakan baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus kepentingan dalam MAS pada 1994.

 Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Dis 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Jan 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.

Mahkamah Tinggi turut membatalkan tuntutan balas Tajudin, yang berjumlah RM13.46 bilion, terhadap 24 responden termasuk Danaharta, dua anak syarikat serta pegawainya, Datuk Azman Yahya, Datuk Abdul Hamidy Hafiz, Datuk Zukri Samat dan Datuk Kris Azman Abdullah.

Responden lain ialah pentadbir khas Naluri Corporation Bhd iaitu Mohamad Raslan Abdul Rahman, Ooi Woon Chee dan Gan Ah Tee serta syarikat Telekom Malaysia Berhad, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Technology Resources Industries Berhad, Celcom (Malaysia) Sdn Bhd, Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), Atlan Holdings Bhd, Atlan Properties Sdn Bhd, Multi Esprit Sdn Bhd, Datuk Seri Adam Sani Abdullah, Datuk Ong Kim Hoay, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Datuk Ong Kar Beau, kerajaan Malaysia dan Naluri Corporation Berhad.

 Dalam penyataan tuntutannya, Tajudin berkata beliau diarah Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) membeli 32 peratus kepentingan dalam MAS bagi menyelamatkan Bank Negara yang mengalami kerugian dalam tukaran asing.

Pada prosiding hari ini, Lim turut memaklumkan mahkamah bahawa Tajudin kini dalam proses menyelesaikan beberapa kes lagi yang membabitkan rayuan beliau terhadap pihak lain termasuk Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Khamis ini.

Lim berkata selepas kes saman antara Tajudin dan Danaharta berjaya diselesaikan, anak guamnya kini berharap perkara sama dapat dicapai dalam kes beliau yang lain.

Katanya, beliau akan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding rayuan dalam kes berkaitan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS