Pengiraan semula undi dibuat pada hari kedua
Proses pengiraan semula undi jika majoriti kurang daripada dua peratus pada pilihanraya umum pada 21 Mac ini akan hanya dilakukan sehari selepas pengundian.
Proses pengiraan semula undi jika majoriti kurang daripada dua peratus pada pilihanraya umum pada 21 Mac ini akan hanya dilakukan sehari selepas pengundian.
Pegawai Pilihanraya Negeri Perak, Abdul Manan Abdul Rahman berkata jika ada permintaan daripada calon yang bertanding, pengiraan semula undi akan bermula pada pukul 10 pagi pada 22 Mac.
"Pengiraan semula ini bukan automatik tetapi jika ada permintaan apabila majoriti kurang daripada dua peratus," katanya pada majlis penyerahan writ pilihanraya kepada 24 pengurus pilihan raya di Perak Ipoh hari ini.
Bernama melaporkan Abdul Manan berkata ia mungkin merupakan proses pengiraan semula yang pertama dilakukan sehari selepas pengundian kerana lazimnya proses itu dilakukan pada malam hari pengundian.
"Ini mungkin kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) merasakan ia akan berlarutan sehingga awal pagi dan membebankan petugas," katanya.
Menurutnya, panduan dan langkah keselamatan bagi proses pengiraan semula undi terkandung dalam surat "Panduan Pengurusan Kawalan Keselamatan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi: Persediaan Pengiraan Semula Undi Yang Kurang Dua Peratus" bertarikh Jumaat dan ditandatangani Timbalan Setiausaha (Operasi) SPR, Abdul Halim Abdul Rahim.
Antara lain, katanya, SPR meminta Pengurus Pilihanraya menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat penjumlahan undi bagi membolehkan pemantauan sepanjang masa, lampu dipasang 24 jam dan pusat hanya boleh dibuka pada jam 9 pagi di Sabah dan Sarawak dan 10 pagi di Semenanjung.
Kesalahan pilihanraya
Menurut Abdul Manan lagi, terdapat seramai 1,170,351 layak mengundi di Perak pada pilihanraya kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang disahkan pada 2 Mac 2004. Perak mempunyai 24 kawasan parlimen dan 59 dewan undangan negeri.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pengurus pilihanraya berhak menghalang mana-mana calon daripada bertanding jika telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah,
Menurutnya, Akta Kesalahan Pilihanraya jelas menyebut bahawa seseorang yang telah didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah di negara ini memang tidak layak untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
"Soal telus atau tidak, adil atau tidak, ini adalah undang-undang negara setakat yang ada," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan tindakan tidak membenarkan tiga pemimpin parti itu bertanding kerana didapati bersalah oleh mahkamah, sebagai tidak adil.
Tiga pemimpin Keadilan terbabit ialah naib presiden Keadilan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Mohamed Azmin Ali, Ketua Pemuda Mohamed Ezam Noor dan timbalan ketua Wanita Irene Fernandez.
Namun begitu, Rais berkata status sebagai seorang yang telah didapati bersalah dan tidak layak bertanding itu boleh dicabar di mahkamah kemudian dalam bentuk rayuan bagi kes-kes kesalahan pilihanraya.
"Tetapi soal atau syarat untuk menjadi calon yang genap (layak) telah ditetapkan oleh undang-undang dan ini bukan (berkuatkuasa) pada masa sekarang sahaja, tetapi telah berkuatkuasa sejak tahun 1957," katanya selepas menyampaikan surat aktiviti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Masyarakat Simpang Pertang, dekat Jelebu hari ini.
Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata keadaan itu (tidak layak bertanding) bukan dialami parti tertentu sahaja, malah beberapa wakil rakyat kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa menerima hakikat yang sama.
Kes Waad
Sebagai contoh kes yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh (Negeri Sembilan), Datuk Waad Mansor yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduh pecah amanah, tidak boleh lagi bertanding.
"Oleh yang demikian, tidak wajar bagi ketua parti tersebut menyatakan bahawa sekarang ini tidak adil. Ini adalah peruntukan undang-undang negara dan ia harus dihormati.
"Tinggal lagi, bila sampai masanya untuk peruntukan itu dicabar oleh mana-mana pihak dan kemudian mahkamah mungkin mengeluarkan nas yang baru, ia adalah isu yang terkemudian dan tidak boleh dipertikaikan sekarang," katanya.
Menurut Rais lagi, tindakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus memainkan isu masuk syurga dalam ceramahnya menyalahi Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihanraya kerana menyalahgunakan agama dalam bentuk memecah-belah fahaman, pendirian atau sifat oleh ramai apabila mengundi.
"Risiko terletak kepada beliau (Nik Abdul Aziz), jika beliau teruskan juga, saya yakin operasi undang-undang akan sampai ke tengkok beliau (beliau akan dikenakan tindakan)," katanya.

