Selangor dijangka akan menerima pelaburan bernilai RM50 bilion daripada kerajaan persekutuan dan pemaju tempatan dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Daripada jumlah itu, katanya kira-kira RM7.4 bilion adalah bagi pembinaan tiga hingga empat lebuhraya yang akan dibina di negeri itu.

   

xavier jayakumar make police report  050210 01 "Bakinya adalah dari projek My Rapid Transit (MRT) dan sambungan LRT."

    

"Selain itu, kami juga sedang mengkaji empat projek besar, yang melibatkan kawasan 6,070.29 hektar (1,500 ekar) setiap satu, yang akan dibangunkan pada tahun ini," katanya di Forum IKS/EKS India Global dan Sidang Kemuncak Jaringan Malaysia 2012 di Petaling Jaya hari ini.

    

Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun lepas, katanya, Selangor berupaya mendapatkan kombinasi pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) RM6.8 bilion bagi pelaksanaan 218 projek perkilangan.

    

Xavier berkata projek itu telah mewujudkan kira-kira 15,000 pekerjaan di Selangor.

    

Tahun ini, katanya, Selangor menjangka DDI akan meningkatkan jumlah projek pembangunan tempatan.

    

"Untuk meningkatkan FDI, strateginya ialah untuk meminta syarikat asing melabur di dalam sektor khusus seperti teknologi hijau, solar, teknologi maklumat dan sektor penyelidikan dan pembangunan," katanya.

    

Mengulas mengenai pertumbuhan 5.2 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lepas, Xavier berkata kerajaan negeri Selangor gembira sasaran itu telah tercapai.

    

"Kita berharap menyaksikan pertumbuhan yang sama pada masa depan," katanya.

- Bernama