Parti Gerakan Pulau Pinang mendapatkan kerjasama polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam memastikan bakal calonnya dalam pilihanraya umum kali ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau terbabit dengan gejala rasuah.

Selain itu, kata pengerusi Gerakan negeri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, semakan juga dibuat bagi memastikan bakal calon berkenaan bukan seorang muflis demi menjaga reputasi parti.

"Kita mahu pastikan semua calon bersih, cekap dan amanah, bebas daripada rekod jenayah dan rasuah serta tidak muflis," katanya.

Menurut laporan Bernama , Dr Koh berkata senarai calon yang telah disemak, diserahkan kepada presiden parti Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, yang kemudian akan mengemukakannya kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada petang ini atau esok.

Bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Pulau Pinang hari ini. Dr Koh berkata pengumuman mengenai senarai calon Gerakan akan dibuat pada Rabu atau Khamis ini.

Mengenai spekulasi bahawa pengerusi DAP Lim Kit Siang akan bertanding di Pulau Pinang, Dr Koh berkata: "Saya tidak mahu membuat sebarang komen sama ada Kit Siang akan bertanding di Parlimen Bukit Bendera atau kawasan lain di negeri ini. Mereka boleh buat sebarang perubahan pada saat-saat akhir."

Katanya, bagi Gerakan, ia sudah membuat persediaan untuk meletakkan calon di semua kawasan yang ditandingi tanpa memikirkan siapakah calon yang akan diletakkan oleh parti lawan.

Disingkir

"Kami juga akan berkempen berdasarkan rekod perkhidmatan serta perancangan masa depan untuk rakyat. Oleh itu, kami meminta supaya rakyat memberi mandat kepada BN bagi membolehkan kami bekerja untuk mereka," katanya.

Gerakan negeri ini akan bertanding empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-11 21 Mac ini. Hari penamaan calon ialah Sabtu ini.

Sementara itu, Pemuda Barisan Nasional hari ini memberi jaminan bahawa calon pergerakan itu yang bakal bertanding dalam pilihanraya umum kali ini adalah yang terbaik.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda BN Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya mereka yang terpilih ini, ketika menjadi wakil rakyat, gagal memberikan perkhidmatan yang baik, mereka akan disingkirkan daripada dicalonkan semula.

Individu seumpama itu, katanya, tidak akan dicalonkan lagi oleh pergerakan Pemuda BN pada pilihanraya akan datang.

"Saya akan bertanggungjawab terhadap setiap calon Pemuda BN, bagaimana mereka berkelakuan dan bertindak balas, akan diperhatikan oleh pucuk pimpinan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Hishammuddin berkata Pemuda BN juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap anggotanya yang mensabotaj kempen pilihan raya dengan tidak membantu calon BN.

Ini termasuk mereka yang telah dipertanggungjawabkan dengan tugas tertentu tetapi sengaja menghilangkan diri semasa berkempen, katanya.