Kehadiran ramai pemerhati politik untuk menyaksikan perdebatan antara Datuk Seri Dr Chua Soil Lek dan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur hari ini turut dieksploitasi sekumpulan aktivis yang mengadakan satu perhimpunan.

Kumpulan berkenaan berhimpun di bawah stesen Jalan Imbi, Bukit Bintang dan melaungkan slogan berhubung projek pemprosesan nadir bumi oleh Lynas di Kuantan.

Turut dibawa oleh kumpulan aktivis itu ialah isu pencemaran sianida Bukit Koman, pembinaan kabel elektrik tegangan tinggi di Rawang dan juga pembinaan stesen MRT di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Adhoc Committee of Coalition of People's Movements itu turut mengedarkan risalah berhubung isu berkenaan.

Seorang koordinator kumpulan itu, Soo Jin Hau berkata aktivis juga ingin berhimpun untuk menghantar mesej kepada pemimpin yang hadir ke program debat berkenaan.

"Kita cuba untuk nyatakan kebimbangan kami dalam semua masalah ini tapi sukar untuk bertemu mereka," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Katanya, MCA sebelum ini pernah menyatakan untuk memantau isu Lynas namun beliau berpendapat parti itu tidak mampu bertindak lebih jauh daripada itu.

"Bagaimana mereka mahu pastikan Lynas mematuhi 11 perkara yang dicadangkan oleh IAEA," katanya lagi.

Kumpulan berbaju hitam dan membawa belon kuning itu bersurai setelah berhimpun selama kira-kira sejam, apabila debat Chua-Lim berakhir petang ini.