Pemuda Umno Malaysia mendakwa kebanyakan belia Melayu yang mengalih kesetiaan politik kepada parti-parti pembangkang kerana didorongi kemarahan pada pilihanraya umum lalu, kini telah kembali ke pangkuan Umno.

"Suasana sudah jauh lebih baik daripada tahun 1999 kerana kini kita dapat melihat kebanjiran pengundi muda yang ingin bersama-sama kita," katanya naib ketua pergerakan tersebut, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

"Mereka suatu ketika adalah orang atas pagar yang dipengaruhi oleh isu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka agresif dan beremosi kerana berpendapat merekalah juara pembela generasi muda," tambahnya.

Bernama

melaporkan Abdul Aziz memberitahu pemberita demikian selepas pelancaran buku panduan Info Pemuda oleh Ketua Penerangan Umno Malaysia Tan Sri Megat Junid Megat Ayub di Kuala Lumpur hari ini.

"Akhirnya mereka mulai sedar tindakan mereka sia-sia dan berpendapat adalah lebih baik bersama-sama kita kerana kita telahpun melakukan (usaha mengatasi masalah belia) sama seperti yang mereka perjuangkan, tetapi kita tidak bermain dengan emosi atau bertindak melakukan provokasi. Kita menghormati dan menggunakan saluran yang betul," katanya.

Abdul Aziz berkata aktiviti akar umbi yang berterusan telah mampu meyakinkan mereka untuk kembali semula ke pangkuan Umno.

"Dari segi kepimpinan pelajar di universiti, kita telah berjaya menawan hati kebanyakan mereka, kecuali di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa. Tetapi yang pentingnya ialah majoriti senyap tetap bersama-sama kita.

Bimbang

"Cuma 10 peratus (pelajar penyokong pembangkang) sangat lantang dan memberi gambaran kononnya majoriti kaum pelajar tidak menyokong Umno. Itu memang tidak benar," katanya.

Sementara itu, di Terengganu, Pemuda Umno negeri menganggap tindakan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu membuang bendera Barisan Nasional (BN) mencerminkan kebimbangan PAS terhadap pengaruh BN yang kian meningkat di negeri itu.

Ketuanya, Din Adam berkata, tindakan itu amat tidak wajar dan memalukan kerana ianya mencabuli hak rakyat menjelang pilihanraya nanti.

"Kenapa mesti bendera BN sahaja diturunkan. Apa yang dilakukan oleh MPKT itu merupakan satu provokasi yang tidak sihat menjelang pilihanraya,"katanya.

MPKT telah menurunkan semua bendera BN di Jambatan Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu semalam dan di hadapan Wisma Darul Iman hari ini.

Din berkata tindakan MPKT itu amat dikesali kerana BN telahpun memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan itu untuk memasang bendera.

Menurutnya, perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini ketika Terengganu diperintah oleh BN.

Sehubungan itu, beliau meminta penyokong BN supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan di luar batasan kerana PAS hanya mahu mewujudkan provokasi.