Kelab Penyokong PAS Malaysia akan dilancarkan Khamis ini yang antara lain bertujuan untuk mempertingkatkan perhubungan erat yang sedia ada di antara kepimpinan PAS dengan masyarakat bukan Islam.

Kelab tersebut akan dilancarkan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertempat di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS di Taman Seri Gombak pada jam 11 pagi.

Menurut setiausaha jawatankuasa penaja, Alex Ong, kewujudan kelab itu juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada bukan Islam mengenai dasar pentadbiran PAS dalam bidang sosial, politik dan ekonomi.

"Ia juga untuk mendukung sepenuhnya usaha-usaha PAS mewujudkan pentadbiran yang bersih, telus, cekap dan amanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, tambahnya, kelab tersebut juga akan berperanan untuk memberi cadangan kepada wakil rakyat PAS bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan kepada rakyat dan negara.

Kelab itu juga, katanya, akan memainkan peranan dalam menyelesaikan salahfaham yang timbul antara masyarakat bukan Islam dengan pentadbiran PAS.

Sementara itu, di Terengganu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ismail Said menyifatkan penyebaran fitnah melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh pihak tertentu, sebagai taktik terdesak untuk mendapatkan sokongan.

Janji syurga

Katanya, perbuatan itu mungkin berpunca daripada larangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak membenarkan penggunaan poster atau kain rentang yang menjanjikan syurga kepada masyarakat.

"Saya meminta sesiapa yang menerima SMS tersebut supaya mengabaikannya dan tidak terpengaruh dengan kata-kata yang diberikan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu. Ismail sendiri telah dua kali menerima SMS serupa.

Sebelum itu, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada balu bekas Setiausaha Kerja Umno Negeri, Allahyarham Zakaria Yusof di Kuala Terengganu hari ini

Menurut laporan Bernama , SMS tersebut disebarkan secara meluas di Terengganu, yang berbunyi:"Apakah parti yang anda sokong? BN (Barisan Nasional), PAS atau ADIL? Jika sesiapa yang menyokong Umno berada dalam kesesatan."

Mengenai isu penurunan bendera BN oleh Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) yang berlaku di beberapa tempat di sini, Ismail berkata ia tidak menjejaskan semangat jentera pilihanraya parti.

"Persiapan tetap berjalan lancar dan nasihat saya kepada anggota parti ialah bersabar serta teruskan usaha dengan lebih bersemangat," katanya.